Cari @ Amanz

Siri Honor90 akhirnya dilancarkan secara rasmi menerusi sebuah acara pelancaran di China, hari ini. Sebanyak dua model diumumkan dengan sejumlah ciri dan fungsi yang hampir sama, namun masih terdapat perbezaan kecil yang diberikan. Sungguhpun begitu secara umumnya peningkatan yang diberi pada kedua-dua peranti dilihat lebih menarik berbanding sebelum ini.

Kita mulakan dengan Honor90 Pro, ia menggunakan skrin OLED sebesar 6.78-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan lagi dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Ini merupakan peningkatan lebih baik berbanding Honor80 Pro yang hanya menawarkan pilihan memori sehingga 12GB RAM.

Peranti juga diberi peningkatan pada sistem kamera utama yang kini menggunakan sensor utama 200MP, kemudian diikuti dengan sensor 32MP (telefoto) dan 12MP (ultra lebar/makro). Dalam pada itu, ia juga mempunyai dwi-kamera swafoto dengan tetapan 50MP (potret) + 2MP (kedalaman). Rakaman video sehingga 4K turut boleh dibuat menerusi kedua-dua belah kamera berkenaan.

Seterusnya bateri 5,000mAh yang digunakan juga lebih besar berbanding 4,800mAh pada model terdahulu. Dalam masa sama, sistem pengecasan turut ditambahbaik yang mana kini mencapai 100W bertujuan memendekkan lagi proses pengecasan semula peranti.

Beralih kepada Honor90 pula, skrin sebesar 6.7-inci OLED FHD+ digunakan yang juga menyokong kada segar semua 120Hz. Cip Snapdragon 7 Gen 1 digunakan sebagai tunjang utama, dalam pada itu pilihan memori pula mencapai 16GB RAM dan storan dalaman 512GB.

Honor90 juga memuatkan sensor utama 200MP, namun tiada sokongan untuk sensor telefoto. Sebaliknya hanya dilengkapi dengan 12MP untuk ultra-lebar dan 2MP pula bagi tujuan kedalaman. Perbezaan turut boleh dilihat pada kamera swafoto yang hanya memuatkan sensor 50MP bagi tujuan rakaman gambar selfie. Bateri juga masih sebesar 5000mAh, namun sistem pengecasan pula hanya sekadar 66W.

Harga jualan kesemua peranti bermula RMB3299 (~RM2145) (12GB/256GB), RMB3599 (~RM2340) (16GB/256GB) dan RM3899 (~RM2536) (16GB/512GB) untuk Honor90 Pro. Sementara itu, variasi standard pula ditawarkan bermula RMB2499 (~RM1625) (12GB/256GB), RMB 2799 (~RM1821) (16GB/256GB) dan RMB2999 (~RM1,951) (16GB/512GB.)

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd