Cari @ Amanz

ASUS ROG Swift OLED PG49WDCD merupakan sebuah monitor gaming ultra lebar lengkung sebesar 49-inci baharu. Skrin OLED yang digunakan bukan sahaja menyokong warna 10-bit malahan mempunyai kadar segar semula 144Hz.

Resolusi maksimum yang disokong pula ialah resolusi 5120 x 1440 dengan keterangan maksimum 1000 nits yang melepasi piawaian VESA DisplayHDR 400. Menurut ASUS lagi, terdapat ruangan haba dan lapisan Graphene yang dibina khas di belakang panel bertujuan memastikan monitor ini sentiasa sejuk tanpa memerlukan kipas yang bising.

Sebagai monitor gaming, ia juga menyokong Adaptive Sync dan AMD FreeSync Premium Pro bagi mengelakkan isu grafik terkoyak sewaktu sesi permainan video. Dalam pada itu, masa tindak balas pula serendah 0.03 ms.

Turut disertakan ialah port DisplayPort 1.4, HDMI 2.1 dan USB Type-C yang boleh mengecas semula peranti yang disambungkan sehingga 90W melalui USB Power Delivery. Tiada harga jualan didedahkan sewaktu artikel ini ditulis.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd