Pada minggu lepas, Acer telah memperkenalkan sejumlah siri produk baru yang akan diperlihatkan di acara COMPUTEX Taipei yang berlangsung pada minggu ini. Kini, kami telah diberi peluang untuk melawat sendiri reruai Acer di acara tersebut, dan ini ialah diantara produk-produk baru yang diperlihatkan mereka.
Acer Swift Edge 16
Acer Swift Edge 16 ialah komputer riba terbaru dalam siri komputer riba produktiviti nipis dan ringan Acer Swift, dan merupakan salah satu daripada sekumpulan kecil komputer riba tersebut yang dikuasakan sepenuhnya oleh komponen CPU dan GPU keluaran AMD.
Ia merumahkan sebuah paparan skrin OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 3.2K (3200 x 2000) dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menjanjikan olahan warna yang jitu.
Acer Swift Edge 16 ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840 yang terbaru, bersama dengan gabungan cip grafik AMD Radeon 780M untuk gaming dan produktiviti kreatif.
Ia juga dimuatkan dengan pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB untuk storan hampir tanpa had. Dari segi pilihan palam, komputer riba ini hadir dengan dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB4 Type-C, HDMI 2.1 dan juga pembaca kad SD. Ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi internet nirwayar WiFi 7 dan menyokong sambungan internet pantas sehingga 5.8Gbps.
Dengan berat 1.23kg sahaja, ia juga mengekalkan status siri komputer riba ini sebagai salah satu daripada komputer riba paling ringan di pasaran.
Predator Triton 16
Siri komputer riba gaming Predator Triton ialah pilihan yang paling sesuai sekali untuk mereka yang mahukan prestasi gaming kelas premium, tetapi mahukan kemasan minimalis dan juga padat. Dengan Predator Triton 16, Acer dilihat mahu menggabungkan kesemua elemen ini dengan penawaran paparan skrin bersaiz 16 inci juga.
Komputer riba gaming ini hadir dengan paparan skrin IPS berbingkai bersaiz 16 inci pada resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan 500 nit. Ia juga mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC yang menjanjikan pengalaman gaming yang lancar dan tiada isu carikan skrin.
Dari segi komponen pula, Predator Triton 16 hadir dengan pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 sehingga pilihan Intel Core i9 yang boleh dilewahjam ke 5.4GHz, dengan memori DDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB dalam konfigurasi RAID-0.
Predator Triton 16 juga hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa sahaja permainan moden pada resolusi 1440p pada kadar segar semula dan juga tetapan yang tinggi.
Jika anda memerlukan sebuah komputer riba dengan palam yang banyak, Predator Triton 16 ini juga tampil dengan pilihan seperti dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas bateri komputer riba ini, satu palam HDMI 2.1 yang menyokong output ke paparan skrin beresolusi 4K dan pembaca kad MicroSD. Ia juga mempunyai sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6E yang pantas.
Didalam rangka bersaiz 19.9mm ini ialah sistem penyejukan Vortex Flow yang menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-5 dan juga cecair logam yang membantu dalam mengalirkan haba daripada bahagian komponen ke sistem penyejukan dengan lebih cekap.
Acer Connect Vero W6m
Apabila bercakap mengenai Acer, produk seperti penghala WiFi jarang sekali diperkatakan, tetapi itulah jenis produk terbaru yang diperlihatkan di reruai mereka juga. Acer telah memperkenalkan Acer Connect Vero W6m, penghala WiFi 6E pertama mereka yang juga dilihat menggunakan jenama Vero yang menggunakan bahan kitar semula PCR (Post Consumer Recyclable) didalam rangkanya.
Ia menyokong teknologi WiFi 6E Tri-band AXE7800 yang menyokong tiga frekuensi nirwayar, termasuklah 2.4GHz, 5.0GHz dan 6.0GHz dan mempunyai kelajuan penghantaran data secara tempatan sepantas 7.8Gbps. Perkakasan ini dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan MediaTek A53 dengan dua teras pada kelajuan 2GHz, memori terbina 1GB dan storan 4GB terbina.
Lebih menarik lagi, anda juga boleh menyambungkan penghala WiFi ini dengan unit-unit lain untuk memanjangkan lagi radius kawasan sambungan WiFi dengan satu ataupun tiga unit tambahan, sehingga 930m².
30 peratus daripada rangka penghala Acer Connect Vero W6m ini juga menggunakan bahan PCR yang dikatakan sebelum ini, dimana berkasnya juga menggunakan 100 peratus bahan kitar semula.
Penutup
Di acara COMPUTEX Taipei 2023 ini ia dapat diperlihatkan bahawa Acer tidak memfokuskan kepada hanya satu jenis produk sahaja, tetapi dilihat akan menawarkan sesuatu untuk orang ramai, tidak kira ianya adalah sebuah komputer riba kelas produktiviti ataupun gaming, malah, ia boleh dikatakan bahawa produk-produk yang tidak dijangka juga diperlihatkan di reruai mereka.