WWDC akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan maklumat mengenai set kepala Apple Reality Pro mula tertiris secara perlahan-lahan. Hari ini penganalisa teknologi skrin Ross Young mendedahkan set kepala AR ini akan menggunakan skrin 1.41″ Micro OLED dengan kepadatan pixel 4000 PPI yang amat tinggi. Sebagai perbandingan skrin 4K 6.5″ pada Sony Xperia 1 V sekadar mempunyai kepadatan pixel 643 PPI sahaja.
Young turut berkata Apple menyasarkan skrin boleh mencecah keterangan 5000 nits yang juga amatlah tinggi. Kerana spesifikasi komponen yang canggih ini, harga jualan Reality Pro versi pertama dijangka mencecah $3000 sebuah. Apple melihat teknologi realiti terimbuh (AR) sebagai masa depan syarikat.
Kesemua percubaan untuk mempopularkan AR dan VR setakat ini menemui jalan buntu. Meta yang paling awal menawarkan dunia metamesta kepada orang ramai kini berhadapan dengan isu kurangnya sambutan daripada pengguna. Seperti Apple, Meta akan melancarkan set Meta Quest 3 dalam masa terdekat yang dilaporkan lebih ringan dan nipis.
Masih wujudkah permintaan untuk set kepala oleh orang ramai dalam pasaran yang kini mempunyai obsesi dengan kecerdasan buatan? Hanya masa akan menentukannya.