Razer Hammerhead Pro HyperSpeed Kini Di Malaysia Pada Harga RM999
Fahim Zahar
Razer Hammerhead adalah siri TWS gaming Razer yang memfokuskan kepada audio dengan dentuman bass dan sambungan sela masa rendah untuk pengalaman bermain permua yang penuh imersif. Sudah ada banyak variasi TWS ini dilancarkan termasuk dengan Hammerhead HyperSpeed edisi Xbox dan PlayStation 5.

Terbaru Razer telah melancarkan Razer Hammerhead Pro HyperSpeed pula. Ia adalah TWS mercu 2023 mereka dengan sokongan lampu RGB Razer Chroma, audio THX, tambatan pantas, sambungan sela masa HyperSpeed dan menyokong sambungan ke mana-mana peranti.
TWS ini menggunakan pemacu audio 10mm dengan kuasa 5mW. Turut tersedia adalah sokongan pembatalan hingar aktif hibrid sehingga 10 tahap yang dijayakan dengan teknologi mikrofon pembatalan hingar persekitaran.

Hammerhead Pro HyperSpeed turut menggunakan Bluetooth 5.3 untuk tambatan pantas, sambungan sela masa rendah dan turut menyokong penyesuai untuk digunakan bersama Xbox, PlayStation 5, Nintendo Switch tanpa membeli TWS edisi khas mereka.

Ketahanan bateri adalah mencapai 6.5 jam dengan pengecasan USB-C atau nirwayar. Kawalan dan tetapan semuanya boleh dilakukan dengan aplikasi Razer. Razer Hammerhead Pro HyperSpeed dijual di Malaysia pada harga RM999.