Monitor ASUS ROG Strix XG259QN Dilancarkan Dengan Kadar Segar Semula Sehingga 380Hz
Amy Maizuraa
Acara Computex 2023 turut memperlihatkan pengenalan untuk monitor baharu ASUS ROG Strix XG259QN. Ia merupakan sebuah monitor gaming dengan skrin LCD 24.5-inci yang juga menyokong kadar segar semula sehingga 380Hz secara lewah jam. Resolusi maksimum yang disokong pula ialah 1080P (FHD), selain turut melepasi piawaian VESA DisplayHDR 400 bertujuan penghasilan semula warna lebih bermaya.

Dalam pada itu, ia juga menyokong AMD FreeSync Premium Pro bagi mengelakkan isu grafik terkoyak sewaktu sesi permainan video. Pengalaman ini bertambah baik dengan gabungan teknologi ASUS Extreme Low Motion Blur Sync (ELMB SYNC) dan Variable Refresh Rate (VRR) yang juga bantu memastikan paparan visual cukup lancar dengan masa tindak balas serendah 0.01ms.
Turut disertakan ialah port DisplayPort 1.4, HDMI 2.0, port USB 3.2 dan bicu aurio 3.5mm yang cukup bagi memenuhi keperluan pelbagai sambungan peranti. Tiada harga jualan didedahkan sewaktu artikel ini ditulis.