Carian
Grab JustSave Menawarkan Penjimatan Menerusi Perkongsian Kenderaan
May 31, 2023 Amy Maizuraa

Grab memperkenalkan perkhidmatan baharu dinamakan JustSave yang bukan sahaja membenarkan pengguna berkongsi kenderaan dengan penumpang lain yang menuju ke destinasi yang sama. Malahan membantu pemandu memperoleh pendapatan tambahan dengan menerima lebih banyak tempahan dalam satu masa serta perjalanan.

Pendekatan yang digunakan sedikit berbeza dengan Grabshare, di mana pengesahan tempahan hanya akan dibuat sekiranya permintaan berjaya dipadankan. Kemudian hanya seorang penumpang dibenarkan bagi setiap tempahan, dengan maksimum dua tempahan keseluruhannya bagi setiap perjalanan. Dalam pada itu, Grab juga akan mengunci laluan bagi mengelakkan perubahan yang boleh menjejaskan perjalanan.

Namun jika terdapat mana-mana penumpang yang membatalkan tempahan semasa pemandu dalam perjalanan, maka individu tersebut akan dikenakan bayaran pembatalan. Yuran tersebut akan diberikan sepenuhnya kepada pemandu sebagai pampasan untuk masa yang telah terbuang. Sementara itu, baki tempahan untuk penumpang lain pula tidak akan terjejas dan masih kekal seperti yang ditempah pada awalnya.

Kos tambang juga lebih rendah dengan penjimatan sehingga 20% berbanding 30% pada GrabShare. Buat masa ini, ia hanya boleh diakses di beberapa kawasan Lembah Klang seperti KLCC, Mid Valley Bangsar, Sentral Brickfields dan One Utama/First Avenue pada waktu puncak di antara jam 2 petang – 9.59 malam.

Komen