Cari @ Amanz

Saya sudah agak berusia dan penerbangan rentas benua yang memakan masa puluhan jam bukan sahaja membosankan tetapi menyakitkan badan. Ada sistem hiburan dalam pesawat (IFE) yang ditawarkan tetapi kandungannya mungkin tidak menarik. Lebih baik kalau boleh melayari web tetapi caj WiFi dalam kabin pesawat membuatkan kami mengimbau memori buruk membayar internet mengikut jumlah MB digunakan ketika zaman dial-up.

Jika anda tidak lagi mahu kebosanan terperangkap dalam tin aluminium di udara, Singapore Airlines (SIA) akan menawarkan WiFi kepada semua penumpang tanpa mengira kelas bermula Julai ini. Ia walau bagaimanapun hanya ditawarkan kepada penumpang yang merupakan ahli KrisFlyer. Mereka hanya perlu mendaftar untuk menggunakan WiFi ketika melakukan pembelian tiket atau ketika proses pemeriksaan masuk.

Penumpang yang bukan ahli KrisFlyer boleh mendaftar dalam pesawat menggunakan WiFi pesawat menerusi peranti pintar mereka. Sebelum ini perkhidmatan WiFi percuma diberikan kepada penumpang kelas Suites, kelas pertama, dan kelas perniagaan sahaja. Sementara itu ahli KrisFlyer di kelas ekonomi premium dan ekonomi diberikan WiFi percuma sehingga tiga jam.

Perkhidmatan WiFi percuma boleh digunakan dalam semua pesawat SIA kecuali pada tujuh pesawat Boeing 737-800 NG.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd