Cari @ Amanz

HyperX, jenama gaming terkemuka telah memperkenalkan dua buah produk audio baru di acara COMPUTEX Taipei, termasuklah sebuah fon kepala dan fon telinga TWS kelas gaming.

Dua produk ini termasuklah fon kepala HyperX Cloud III dan juga fon telinga HyperX Cirro Buds Pro. Fon kepala HyperX Cloud generasi ketiga ini dibina dengan pemandu audio bersaiz 53mm baru yang hadir dengan sokongan teknologi audio DTS Headphone:X yang membantu dalam mengolah audio 3D sekeliling yang bukan sahaja nyaring tetapi mengekalkan kualiti audio yang tidak pecah.

Bagi anda yang gemar menggunakan fon kepala untuk tujuan komunikasi bersama rakan-rakan dalam permainan juga, fon kepala ini juga mempunyai mikrofon 10mm terbina dengan teknologi pembatalan bunyi hingar yang terbina yang memastikan kata-kata anda jelas didengari oleh rakan-rakan lain.

Ia juga hadir dengan sokongan untuk pelbagai jenis platform permainan, termasuklah PC, PC, PS5, PS4, Xbox Series X|S, Xbox One, Nintendo Switch dan peranti pintar, dan boleh disambungkan ke konsol-konsol ini melalui sambungan palam audio 3.5mm, palam USB Type-A dan juga USB Type-C melalui penyesuai yang ditawarkan.

Untuk pengalaman memakai fon kepala HyperX Cloud III yang lebih selesa, ia juga menggunakan pad telinga dan juga pad kepala dengan memory foam yang menjanjikan pemakaian yang selesa walaupun ketika sesi permainan berjam lamanya.

Jika anda lebih selesa menggunakan fon telinga TWS, HyperX Cirro Buds Pro mungkin lebih sesuai untuk anda. Fon telinga ini hadir dengan teknologi fon telinga yang dimahukan oleh orang ramai seperti ciri pembatalan bunyi hingar aktif dan mod transparency dimana pengguna boleh mendengar bunyi latar sekeliling sewaktu anda mendengar audio melalui peranti anda.

Fon telinga HyperX Cirro Buds Pro ini boleh disambungkan ke peranti menggunakan sambungan Bluetooth 5.2 untuk sambungan dengan lengah-masa yang rendah, dan mempunyai jangkahayat bateri selama 35 jam bersama-sama dengan rangka pengecasan fon telinga ini yang boleh mengecas fon telinga ini dari kosong ke penuh dalam masa 40 minit sahaja.

Ia juga menyokong piawaian kalis air IPX4 yang membolehkan pengguna untuk menggunakan fon telinga ini bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi juga apabila mereka keluar dari rumah ataupun melakukan aktiviti riadah ringkas.

Buat masa ini, HyperX telah mengesahkan bahawa fon kepala HyperX Cloud III akan ditawarkan di pasaran tempatan bermula 6 Jun 2023 ini pada harga RM399. Ketibaan fon telinga HyperX Cirro Buds Pro akan diumumkan kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd