Carian
Acer Tiada Pelan Untuk Memasuki Industri Gaming Mudah-alih Buat Masa Ini
June 1, 2023 Nazrin

Apabila bercakap mengenai industri gaming, sebelum ini perkakasan-perkakasan yang popular untuk tujuan tersebut dilihat adalah seperti komputer desktop dan komputer riba kelas gaming, ataupun konsol-konsol permainan seperti Sony PlayStation, Microsoft Xbox dan juga Nintendo Switch.

Malah, populariti konsol Nintendo Switch dilihat sangat popular kerana ia mudah dibawa kemana-mana untuk dimainkan, dan sebuah industri gaming baru telah bermula dimana sejumlah syarikat seperti Valve, Ayaneo dan ASUS telah mula membangunkan konsol mudah-alih mereka sendiri berasaskan permainan kelas PC.

Sewaktu temubual kami bersama dengan sejumlah eksekutif Acer, satu soalan telah ditanya kepada mereka tentang samada Acer ataupun jenama gaming mereka, Predator akan memperkenalkan konsol permainan yang seakan Steam Deck ataupun ASUS ROG Ally.

Jerry Kao, Ketua Pegawai Operasi di Acer telah mengatakan sewaktu temubual tersebut bahawa syarikat tersebut tidak mempunyai pelan untuk memperkenalkan produk tersebut buat masa ini. Ini adalah kerana bagi Acer, mereka merasakan bahawa ia belum tiba masa untuk syarikat tersebut memasuki segmen pasaran tersebut.

Walaupun populariti untuk produk seperti Steam Deck dan ASUS ROG Ally dilihat sangat tinggi, khususnya apabila ia dilihat bahawa ASUS telah bekerjasama dengan AMD untuk membangunkan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme, Acer merasakan bahawa permintaan untuk konsol sebegini belum cukup tinggi lagi untuk mereka memasuki pasaran ini.

Satu lagi sebab yang diberikan oleh Jerry Kao ialah bahawa teknologi untuk konsol-konsol sebegini masih belum cukup matang untuk menjanjikan pengalaman yang baik kepada para pemilik perkakasan tersebut. Ini cukup menarik juga, kerana menurut Nextrift, Acer merupakan pengedar rasmi untuk peranti Steam Deck di negara Taiwan.

Ini bukanlah bermakna bahawa Acer tidak akan membangunkan produk tersebut. Kebarangkaliannya ialah mereka mahu memastikan bahawa gabungan komponen dan perisian (khususnya sistem operasi Microsoft Windows 11) untuk rekabentuk ini adalah lebih matang sebelum memilih untuk memperkenalkan produk seperti ini.

Buat masa ini, ia dapat diperlihatkan bahawa Acer masih lagi lebih selesa memperkenalkan komputer desktop dan komputer riba kelas gaming premium dengan gimik seperti 3D stereoskopik sebelum memperkenalkan peranti gaming mudah-alih.

Komen