Tidak dinafikan penggunaan tetikus nirwayar memberi faedah yang besar kerana mudah digunakan dan lebih praktikal. Terbaharu Logitech MX Anywhere 3S telah diperkenalkan di Malaysia sebagai satu lagi tetikus nirwayar yang sesuai digunakan untuk kerja produktivi harian. Dijual dengan harga RM369, ia boleh dibeli menerusi pengedar dah Logitech di seluruh Malaysia bermula hari ini.
Tetikus nirwayar ini mempunyai rekaan ergonomik, selesa dan ringan dengan berat hanya 99gram. Ia juga mempunyai sensor dengan tahap kepekaan sehingga 8000DPI yang membolehkannya berfungsi cukup baik pada pelbagai permukaan termasuklah kaca. Teknologi Quiet Click yang disertakan pula membolehkan tetikus ini digunakan dengan senyap pada kesemua butang terbina bersama tindak balas memuaskan.
Secara keseluruhan Logitech MX Anywhere 3S mempunyai enam butang dan satu roda kawalan berputar. Ia juga boleh disambungkan kepada tiga peranti serentak menggunakan tambatan bluetooth. Dalam pada itu, turut sama serasi digunakan dengan Logi Bolt USB yang dijual secara berasingan.
Akhir sekali, bateri 500mAh yang digunakan boleh bertahan sehingga 70 hari dengan sekali pengecasan penuh. Pengecasan semula dilakukan menerusi sambungan USB-C.