Celcom dan Digi telah sedia mengumumkan pengabungan syarikat sekitar 6 bulan yang lepas, dan hari ini, pihak CelcomDigi berkongsi beberapa perkembangan syarikat, termasuk berkenaan dengan ujian rintis dalam mengintegrasikan rangkaian.
Dengan langkah integrasi ini, ia membolehkan pengguna menggunakan infrastruktur rangkaian Celcom atau Digi tanpa masalah – sekaligus menikmati kadar liputan lebih baik, termasuk peningkatan pada penawaran perkhidmatan rangkaian.

Celcom menyatakan telah melakukan ujian rintis integrasi rangkaian di Sitiawan, Rawang, Bercham, Port Dickson dan juga Kuantan. Lima lokasi ini melibatkan sekitar 300 tapak rangkaian yang dinaik-taraf dan diintegrasikan. Integrasi ini turut menawarkan kapasiti rangkaian yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Apa yang menariknya juga, integrasi rangkaian ini dilakukan tanpa sebarang gangguan kepada pengguna, dan memperlihatkan peningkatan muat-turun mencapai 40%.
Mengulas lanjut, CelcomDigi menyasarkan sekitar 18,000 tapak rangkaian mereka dijangka akan selesai diintegrasikan dalam hampir 2.5 tahun ke 3 tahun. Proses integrasi ini juga dilakukan berperingkat dari kawasan dengan kurang tumpat kepada kawasan berketumpatan tinggit.