Ducky Memasuki Arena Papan Kekunci Tersuai Dengan Project D Outlaw
Nazrin
Ducky ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk penawaran papan kekunci mekanikal mereka yang hadir dalam pelbagai saiz dan juga rekaan yang menarik. Terkini, jenama tersebut dilihat mahu memasuki arena papan kekunci tersuai dengan produk terbaru mereka.

Dinamakan Project D Outlaw, papan kekunci ini hadir dengan rekabentuk 65% dan akan hadir sebagai kit papan kekunci asas yang mana ia termasuklah rangka papan kekunci, papan litar, plat litar dan sejumlah aksesori seperti span yang akan membantu dalam mengurangkan getaran dan bunyi kurang enak didalam papan kekunci.

Rangka papan kekunci ini diperbuat daripada bongkah aluminum dan akan hadir dengan sejumlah pilihan plat yang dibangunkan dengan bahan-bahan berbeza seperti FR4, polikarbonat, POM dan juga besi. Kesemua plat ini akan diberikan kepada pengguna, malah, mereka juga akan dibekalkan kit membangunkan papan kekunci mereka sendiri, yang termasuklah pemutar skru, berus, cecair pelincirdan juga pencabut kekunci.


Dengan penawaran Project D Outlaw ini, pengguna diberi pilihan untuk membina dan memilih konfigurasi papan kekunci idaman mereka sambil mempelajari apakah yang membuatkan papan kekunci tersuai hobi kegilaan ramai hari ini.

Seorang jurucakap Ducky memberitahu kami bahawa papan kekunci Project D Outlaw akan mula dijual sekitar suku ketiga ataupun keempat tahun ini pada harga $299 ke $399. Walaupun mereka mengatakan bahawa ia hanya akan ditawarkan sebagai kit asas, 500 unit pertama yang dijual akan ditawarkan bersama-sama set kekunci dan juga suis mekanikal yang belum ditentukan buat masa ini.