Cari @ Amanz

Algoritma di IG tidak begitu digemari kebelakangan ini kerana cenderung mencadangkan kandungan video. Hanya baru-baru ini mereka memberitahu akan memfokuskan kepada keseimbangan antara gambar dan video. Instagram turut berkongsi yang mereka mempunyai 5 algoritma tersendiri.

Setiap bahagian Instagram iaitu Feed, Stories, Explore, Reels dan Search menggunakan algoritma masing-masing untuk mencadangkan kandungan kepada pengguna. Pada Feed iaitu halaman utama IG melihat bagaimana pengguna berinteraksi dengan sesuatu perkongsian seperti Like, komen, kongsi, simpan atau lokasi.

Selain itu kekerapan berinteraksi dengan pengguna lain turut dipantau. Dengan data terkumpul, paparan pada Feed adalah daripada akaun yang diikuti dan yang IG ramalkan diminati pengguna.

Stories juga lebih kurang sama cuma memfokuskan video daripada akaun siapa dan kekerapan interaksi seperti Like, komen dan kongsi. Explore juga sama cuma dengan penambahan informasi sejarah aktiviti pengguna dan lokasi.

Reels adalah mirip dengan yang dilakukan oleh TikTok. Informasi mengenai jenis video, akaun siapa, kekerapan berinteraksi, corak penggunaan semuanya akan digunakan untuk memastikan video yang keluar sentiasa selari dengan minat pengguna.

Instagram turut menggalakkan pengguna menambah akaun ke senarai kegemaran, boleh snooze paparan kandungan untuk 30 hari, mebisukan pengguna yang tidak digemari tetapi masih ingin diikuti, kerap menjawab kaji selidik mereka, menyembunyikan perkongsian dan banyak lagi.

Jelas di sini yang algoritma-algoritma Instagram bergantung sepenuhnya kepada pengguna. Cuma agak sukar untuk kita tahu sama ada adakah benar algoritma ini berfungsi. Kajian Mozilla mendapati butang dislike dan not interested pada YouTube tidak berfungsi. Apa kata anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd