Carian
Bombardier Menggiatkan Usaha Menghasilkan Pesawat Sayap Terbang
June 1, 2023 Effi Saharudin

Rekaan pesawat “sayap terbang” di mana bahagian tubuh turut menjadi sebahagian sayap telah wujud sejak 1920an lagi. Tetapi rekaan pesawat seperti ini tidak stabil dan tidak mudah diterbangkan oleh juruterbang manusia. Hanya selepas sistem komputer diperkenalkan, rekaan ini akhirnya digunakan pada pesawat pengebom B-2 Spirit dan B-21 Raider. Rekaan sayap terbang kini ingin digunakan pada pesawat penumpang moden kerana mengurangkan rintangan udara, dan penggunaan bahan api.

Bombardier menjadi sebuah lagi syarikat yang ingin menghasilkan pesawat sayap terbang di masa hadapan. Menerusi projek Ecojet sebuah prototaip pada skala 7% saiz sebenar telah berjaya diuji sekitar lapan bulan yang lalu. Dengan data menunjukkan rekaan ini boleh mengurangkan penggunaan bahan api seperti yang diramalkan, Bombadier akan menggandakan usaha dengan menghasilkan prototaip kedua pada skala 15% pula.

Sasaran Ecojet ialah mengurangkan pelepasan pencemaran sehingga 50% berbanding rekaan pesawat jet penumpang standard. Dunia semakin cakna mengenai pencemaran dan pesawat penumpang adalah antara yang penyumbang tertinggi.

Penghasilan pesawat penumpang sayap terbang juga sedang diusahakan oleh NASA, Boeing, dan Airbus. Pada waktu yang sama pesawat kargo tentera juga ingin dihasilkan Jabatan Pertahanan Amerika dengan rekaan yang sama bagi meningkatkan kapasiti berbanding rekaan semasa.

Komen