Carian
Garmin Epix Pro Dilancarkan Dengan Ketahanan Bateri Sehingga 31 Hari
June 1, 2023 Amy Maizuraa

Garmin Epix Pro diperkenalkan secara rasmi untuk kegunaan sukan lasak dan mencabar. Ia boleh didapati dalam tiga pilihan saiz dengan tambahan 42mm agar lebih sesuai digunakan oleh pelbagai pengguna. Seterusnya skrin AMOLED dengan Red Shift Mode pula boleh mengubah paparan menjadi warna merah yang sekaligus memberi kesan lebih baik bila digunakan pada waktu malam.

Skrin adalah sebesar 1.2-inci dengan resolusi 390 x 390 piksel. Ini dipadankan juga dengan kerangka gentian kaca bersama bezel keluli tahan karat. Dalam pada itu terdapat juga versi yang dipadankan dengan pelindungan kaca Sapphire dan tahan calar. Sokongan lampu suluh terbina juga boleh ditemui yang amat berguna sewaktu larian atau mendaki pada waktu malam.

Sebagai jam tangan pintar, ia juga mempunyai sensor kesihatan dan kecergasan terbina yang boleh digunakan untuk menjejak aktiviti harian. Ini termasuklah kada degupan jantung harian, tahap penafasan, pola waktu tidur, kadar tekanan harian dan sebagainya. Menariknya lagi apabila kini ia juga dilengkapi ciri Score Hill yang membolehkan pengguna mengukur kekuatan larian dari masa ke semasa, khususnya apabila digunakan untuk mendaki.

Kemudian ciri Endurance Score pula akan menggabungkan kesemua data kesihatan bagi membantu pengguna memahami latihan yang sesuai dengan daya ketahanan badan. Selanjutnya ciri Up Head membolehkan pusat pemeriksaan tertentu dijejak terus daripada jam tangan pintar. Sebagai tambahan, terdapat juga beberapa aktiviti sukan baharu seperti bola sepak, bola keranjang dan menunggang kuda disertakan.

Ketahanan bateri pula bergantung pada saiz kerangka, di mana boleh mencapai 31 hari untuk saiz 51mm. Sementara itu variasi dengan kerangka 42mm pula sehingga 16 hari dan paling kecil pula boleh bertahan sehingga 10 hari penggunaan. Harga jualan penuh untuk jam tangan ini adalah seperti di bawah :

  • Epix Pro Standard Edition | 42 mm – $899.99 (~RM4,150)
  • Epix Pro Standard Edition | 47mm – $899.99 (~RM4,150)
  • Epix Pro Standard Edition | 51 mm – $999.99 (~RM4,611)
  • Epix Pro Sapphire Edition | 42 mm – $999.99 (~RM4,611)
  • Epix Pro Sapphire Edition | 47 mm – $999.99 (~RM4,611)
  • Epix Pro Sapphire Edition | 51 mm – $1,099.99 (~RM5,072)
Komen