Motorola Razr 40 Ultra telah dilancarkan di China sebentar tadi sekaligus menjadi peranti dengan skrin boleh lipat clamshell baharu daripada jenama berkenaan. Kini ia menawarkan sokongan skrin dengan saiz lebih besar serta kadar segar semula cukup tinggi, baik di bahagian dalam mahupun luar.

Di sini ia menggunakan skrin utama sebesar 6.9-inci POLED LTPO FHD+ dengan kadar segar semula 165Hz. Skrin ini turut dilengkapi pensijilan HDR10+ dan sokongan warna 10-bit. Sementara itu skrin sekunder pula sebesar 3.6-inci POLED (1056×1066 piksel) dengan kadar segar semula 144Hz.
Penggunaan cip Snapdragon 8+ Gen 1 juga masih dikekalkan peranti generasi baharu ini, kemudian pilihan memori pula sehingga 12GB LPDDR5X RAM dan storan dalaman 512GB. Kapasiti bateri bagaimanapun lebih besar iaitu 3,800mAh yang juga menyokong sistem pengecasan berwayar 33W dan nirwayar 5W.

Motorola Razr 40 Ultra mempunyai kemampuan kamera utama dengan tetapan 12MP OIS (utama) dan 13MP pula bagi tujuan ultra lebar/makro. Selanjutnya terdapat juga kamera swafoto 32MP yang diletakkan dalam lubang kecil di bahagian skrin dalam.

Turut disertakan ialah pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos. Dalam pada itu Motorola Razr 40 Ultra juga melepasi penarafan kalis percikan IP52 dan menawarkan rangkaian 5G secara terbina. Harga jualan peranti adalah bermula RMB5699 (~RM3697) (8GB/256GB) dan RMB6499 (~RM4216) (12GB/512GB)