Carian
MSI
MSI Spatium M570 M.2 Frozr Hadir Dengan Penyejuk Terbina, Kadar Pembacaan Data Sepantas 20GB/s
June 2, 2023 Nazrin

MSI ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk komponen-komponen komputer seperti papan induk dan kad grafik, tapi tahukah anda bahawa mereka juga mempunyai penawaran memori dan storan juga?

Di acara COMPUTEX Taipei, mereka telah memperlihatkan penawaran storan terbaru mereka, iaitu MSI SPatium M570 M.2 Frozr dan Frozr+, iaitu storan SSD PCIe 5.0 dengan bongkah penyejukan Spatium terbina.

SSD ini hadir dengan saiz M.2 2280 dengan pilihan storan sebesar 2TB dan mempunyai bongkah penyejukan terbina yang berbeza bergantung kepada model. Model Frozr menggunakan bongkah penyejukan tanpa kipas tetapi mempunyai banyak sesirip untuk penyerapan dan pembasmian haba, manakala model Frozr+ memperlihatkan rekaan bongkah penyejukan aluminum yang lebih padat, tetapi mempunyai kipas TORX 5.0 terbina untuk mengalirkan haba dengan lebih cekap.

MSI mengatakan bahawa dengan bongkah penyejukan ini, SSD mereka boleh beroperasi dengan suhu 20-30 darjah Celcius lebih rendah dari biasa, dan ini membolehkan mereka untuk mengekalkan kadar penghantaran data yang sepantas 10-14GB/s, dan jika digabungkan dalam konfigurasi RAID-0, kelajuan pembacaan dan penghantaran data tersebut meningkat ke 20-22GB/s.

Storan ini hadir dengan pilihan kapasiti 1, 2 dan 4TB, dan dijangka akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih pada suku ketiga tahun ini. Tanda harga untuk storan ini tidak diketahui lagi.

Komen