ZOTAC Memperkenalkan ZBOX Pico PI430AJ – Komputer Kerdil Dengan Sistem Penyejukan Yang Unik
Nazrin
ZOTAC ialah sebuah jenama komputer yang terkenal untuk penawaran kad grafik mereka dan juga komputer-komputer bersaiz padat dan di acara COMPUTEX Taipei 2023, syarikat tersebut telah memperlihatkan sebuah komputer kerdil baru yang dinamakan ZBOX Pico PI430AJ yang lihat seperti saiz sebuah komputer Raspberry Pi, tetapi menawarkan prestasi perkomputeran dan sistem penyejukan yang cukup unik sekali.

Walaupun ia hadir dengan saiz yang cukup kecil sekali, ZBox Pico PI430AJ ini dilengkapi dengan sebuah cip pemprosesan Intel Core i3-N300 yang mempunyai lapan teras dengan kelajuan sepantas 3.8GHz, memori LPDDR5 sebanyak 8GB dan ruangan untuk satu storan SSD PCIe 4.0 M.2 2280.

Dari segi sokongan palam pula, ZBox Pico ini dimuatkan dengan tiga palam USB 3.2 Type-C, satu palam HDMI 2.0 dan satu pembaca kad MicroSD. Ia juga menyokong sambungan WiFi6 yang menjanjikan sambungan internet yang pantas dan dengan lengah masa rendah.

Lebih menarik lagi komputer kerdil ini juga boleh digunakan untuk menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11, dan boleh dijadikan sebagai sebuah komputer multimedia.
Keunikan komputer kerdil ini hadir melalui sistem penyejukan yang digunakan yang mampu mengalirkan udara panas daripda komponen CPU tanpa menggunakan kipas. Sistem penyejukan ini, yang dinamakan AirJet dibangunkan oleh Frore Systems yang menggunakan cip penyejukan yang terdiri daripada sirip membran yang menggunakan tenaga elektrik dan getaran sirip ini untuk mengalirkan udara kepada komponen ini.

Menggunakan tenaga elektrik serendah 10W sahaja, sistem penyejukan ini juga dilihat cukup cekap dan mampu menyejukkan komponen ini secara senyap. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ZOTAC akan melancarkan komputer kerdil ZBox Pico PI430AJ ini.