Cari @ Amanz

Terdapat beberapa produk sifar gula atau kurang gula di pasaran yang menggantikan gula (glukosa) dengan pemanis buatan. Antara yang kerap digunakan sebagai ganti ialah Sucrolase yang dijual menggunakan tanda dagang Splenda. Menurut kajian North Carolina State University, Splenda didapati menyebabkan kerosakan DNA yang boleh menjurus kepada penyakit seperti kanser.

Splenda adalah 600 kali ganda lebih manis berbanding gula dan berubah menjadi sebatian sucralose-6-acetate apabila dicernakan oleh tubuh manusia. Apabila sebatian ini diuji dengan darah manusia, ia memecahkan DNA dalam sel manusia. Sekiranya DNA yang musnah ini tidak dibaiki oleh tubuh ia boleh menyebabkan kanser. Sebarang sebatian yang boleh memecahkan DNA dikategorikan sebagai bahan genotoksik.

Dalam ujian pada sel epitelium perut pula, sucralose-6-acetate menyebabkan “kebocoran perut”. Kebocoran perut ini menyebabkan sebarang bahan kumuh yang sepatutnya dibuang oleh tubuh diserap oleh ke dalam darah.

Penggunaan bahan genotoksik dibenarkan dalam makanan asalkan ia tidak melebihi had selamat. Di Eropah misalnya had selamat ialah 0.15 mg sehari tetapi kajian mendapati tahap sucralose-6-acetate yang dihasilkan apabila menggunakan Splenda melebihi had ini.

Penyelidik berharap penemuan mereka ini akan dapat menggesa pelbagai badan keselamatan pemakanan dunia supaya mengubah garis panduan yang digunakan sekarang. Bagi penduduk di Malaysia, Sucralose digunakan dalam pelbagai minuman kurang gula seperti Coca Cola Zero Sugar dan Pepsi Black.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd