Dalam filem James Bond, Hackers, Mission Impossible dan Die Hard Die Harder ada babak penggodam mengakses satelit bagi melakukan aktiviti keji. Kita diberitahu bahawa satelit di angkasa lepas boleh digodam dengan mudah oleh golongan “hackers” kental.
Realitinya situasi ini tidak pernah berlaku di dunia sebenar. Tetapi bagi memastikan ia tidak akan berlaku, Amerika Syarikat akan mencabar lima pasukan penggodam untuk mencubanya ketika acara Hack-A-Sat 4 di DEF CON pada bulan Ogos ini.
Satelit cubesat Moonlighter yang dibina oleh The Aerospace Corporation menerima dana daripada Air Force Research Lab (AFRL) dan US Space Systems Command akan menjadi yang pertama cuba digodam dalam sejarah. Kelima-lima pasukan yang dipilih telahpun melepasi beberapa ujian saringan yang melibatkan lapan pasukan. Satelit ini pula akan dilancarkan ke angkasa lepas hari ini.
Moonlighter pula mempunyai beberapa sistem pertahan yang dibangunkan khusus untuk mengelakkan ia daripada digodam. Di DEF CON kemampuan sistem ini dan kumpulan penggodam akan diuji secara langsung.
Hanya tiga pasukan terbaik akan menerima hadiah berjumlah antara $50,000, $30,000 dan $20,000. Dengan dunia amat bergantung kepada satelit untuk pelbagai keperluan komunikasi, memastikan ia tidak boleh digodam adalah amat penting. Bagi mereka yang ingin melihat sama ada Moonlighter akan dapat digodam ataupun tidak, DEF CON akan berlangsung antara 10-13 Ogos 2023 ini di Las Vegas.