Carian
Apple Vision Pro Kini Rasmi – Peranti MR Berharga RM16,000
June 6, 2023 Effi Saharudin

Apple Glass? Apple Reality Pro? Kesemua nama ini adalah telahan yang salah kerana pagi ni Apple Vision Pro ialah nama rasmi yang digunakan untuk set kepala realiti gabungan pertama daripada Apple. Juga tidak seperti kesemua maklumat yang tertiris sebelum ini, Vision Pro mempunyai mod tembus yang membolehkan dunia sebenar digabungkan dengan dunia realiti maya.

Ia akan mengapungkan antaramuka maya di udara lengkap dengan ia mempunyai bayang-bayang pada objek dunia sebenar apabila dilihat menerusi Vision Pro. Kawalan dilakukan menggunakan suara menerusi Siri ataupun gestur jari. Dalam demo yang diperlihatkan, pemakai boleh menonton kandungan Apple TV+, melakukan panggilan FaceTime dan melayari web kesemuanya dalam tiga tingkap terapung yang berbeza.

Ciri yang agak unik ialah EyeSight. Apabila berinteraksi dengan orang lain di sekeliling, mereka dapat melihat mata pemakai pada skrin luaran. Dengan ini isu mata pemakai tidak dapat dilihat orang sekeliling yang membuatkan interaksi terasa janggal tidak berlaku.

Paling menarik ialah apabila menyedari terdapat individu berhampiran, mereka akan dapat dilihat dalam paparan dalaman secara automatik. Pemakai Vision Pro menggunakan tombol berputar pada bahagian sisi untuk menetapkan tahap tembus. Mereka boleh menyelam sepenuhnya dalam dunia realiti maya atau membolehkan dunia luar dilihat dalam Vision Pro sepenuhnya dalam mod realiti gabungan (MR).

Vision Pro boleh juga digunakan dengan sebuah papan kekunci Magic Keyboard atau ditambat terus kepada sebuah MacBook dengan hanya melihat skrin komputer riba. Kandungan MacBook ini dipaparkan dalam skrin maya gergasi yang hanya dilihat oleh pemakai Vision Pro.

Sebuah lagi ciri menakjubkan ialah Vision Pro boleh melakukan rakaman video secara 3D menerusi kamera di luar yang kemudiannya juga ditonton secara 3D dalam Vision Pro. Selain video, permainan video dan kandungan Apple TV+ dalam mod 3D juga akan ditawarkan.

Kesemua ini bukanlah idea baharu yang sudahpun wujud pada Quest Pro. Perbezaannya ialah Vision Pro diintegrasikan dengan pelbagai produk dalam ekosistem Apple dengan mudah. Satu ramalan yang menjadi kenyataan ialah Vision Pro menggunakan sambungan berwayar kepada pek bateri yang tidak diletakkan di set kepala. Bateri ini disambungkan pada sisi kiri kepala menerusi sistem magnet seakan pengecas Apple Watch. Apple berkata bateri Vision Pro membolehkan ia beroperasi seharian.

Terdapat dua skrin dari jenis Micro OLED dengan 23 juta pixel. Bagi mereka yang memakai cermin mata pula, Apple bekerjasama dengan Zeiss untuk menawarkan kanta mata supaya pengguna rabun boleh menggunakan Vision Pro tanpa cermin mata. Sepasang speaker diletakkan pada sisi kepala terbina pada tali pengikat Vision Pro.

Turut didedahkan Vision Pro menggunakan Apple M2 dan Apple R1. Kedua-dua cip ini diperlukan bagi mengumpul data dari kamera 2D, kamera infra merah, LiDAR, sensor audio, accelerometer, penjejak pergerakan mata dan kamera 3D yang digunakan.

Sensor yang sama seakan Face ID ini adalah disengajakan kerana Vision Pro menggunakan sistem biometri baharu Optic ID. Optic ID mengimbas anak mata pemakai untuk menyahkunci peranti. Menurut Apple setiap anak mata adalah unik dan berbeza walaupun pada pasangan kembar.

Kesemua ini kemudiannya dikawal oleh sistem operasi baharu VisionOS. Aplikasi iOS dan iPadOS boleh digunakan terus dalam VisionOS dari hari pertama lagi. Maka tiada isu Vision Pro tidak mempunyai aplikasi apabila dilancarkan kelak pada harga $3499 (~RM16,016) bermula tahun 2024.

Komen