Cari @ Amanz

Perhatian orang ramai pagi ini pastinya tertumpu kepada Vision Pro, set kepala AR yang memang mengagumkan. Namun begitu pengumuman lain tidak boleh dilupakan kerana tidak kurang menariknya. Apple berkongsi pelbagai ciri baharu yang diperkenalkan pada watchOS 10 untuk Apple Watch.

Bermula dengan beberapa lagi muka jam baharu yang membolehkan Apple Watch diperibadikan lagi dengan identiti pemakai. Muka jam yang mempunyai lebih banyak komplikasi untuk paparan maklumat lebih terperinci serta beberapa lagi bertemakan watak komik Snoopy.

Smart Stack pula ialah ciri yang membolehkan pelbagai widget penting diskrol menggunakan tombol Digital Crown. Maklumat pantas mengenai cuaca, skor perlawanan bola, tapak perjalanan sehari dan agenda harian boleh dilihat sepantas kilat kerana widget disusun berlapis dan ditukar menggunakan tombol sisi jam.

Control Center pula boleh diakses dengan menekan butang sisi. Selepas digunakan tekan tombol sisi sebanyak dua kali untuk menutupnya. Ciri Name Drop pula memudahkan perkongsian maklumat peribadi dengan pengguna ekosistem Apple yang lain. Hanya perlu dekatkan Apple Watch kepada iPhone untuk bertukar-tukar nombor telefon misalnya.

Sistem pemetaan juga ditambah baik dengan Apple Watch boleh menurunkan tanda lokasi terakhir sambungan selular dapat dikesan. Dengan ini jika pemakai Apple Watch perlu melakukan sambungan selular, mereka boleh kembali ke lokasi ini menggunakan peta terbina. Penjejakan aktiviti berbasikal juga ditambah baik bagi melihat kuasa kayuhan dan laluan lebih jelas.

Apple Watch turut boleh digunakan untuk menentang masalah rabun di kalangan kanak-kanak. Dengan kerjasama Institut Miopia Antarabangsa, kanak-kanak dengan Apple Watch akan dipantau masa mereka berada di luar. Kanak-kanak disarankan menghabiskan sehingga dua jam sehari di luar bagi mengelakkan mata menjadi rabun. Apple Watch akan menjejak masa dihabiskan dan merekodkan data ini ke dalam aplikasi Health milik ibu bapa atau penjaga.

watchOS 10 kini ditawarkan kepada pembangun untuk ujian Beta tertutup dan hanya akan diberikan kepada orang ramai dengan Apple Watch 4 dan ke atas menjelang penghujung 2023.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd