Mulakan artikel ulasan dengan penafian bahawa ini merupakan pengalaman pertama saya menggunakan fon telinga keluaran jabra. Namun ia tidak bermakna, saya tidak didedahkan langsung mengenai ketersediaan produk mereka. Ia lebih kepada tahu akan penawarannya di Malaysia tanpa melibatkan pengalaman penggunaan yang mendalam.

Justeru, perkara ini secara tidak langsung telah membangkitkan perasaan bercampur baur di antara bimbang, suka dan pelbagai lagi yang lain termasuklah tidak selesa di beberapa bahagian. Namun begitu saya perlu akui, Jabra Elite 4 adalah baik meskipun belum sempurna. Berikut saya kongsikan pengalaman penuh sepanjang menggunakan fon telinga ini untuk beberapa minggu.
Spesifikasi
JABRA ELITE 4 | |
---|---|
Jenis | TWS dalam telinga |
Pemandu | Dua pemandu 6mm |
Mikrofon | Empat mikrofon |
Bateri | 5.5 / 22 jam dengan pod pengecas |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | AAC/SBC |
Sistem operasi disokong | Android/iOS/HarmonyOS/Windows |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad sesentuh | Tekan/Tahan |
Kemampuan kalis air | IP55 |
Bluetooth | Bluetooth 5.2 Sokong bluetooth multipoint |
Audio Offline | Tiada |
Pengimbas nadi | Tiada |
Harga Jualan | RM549 |
Rekaan Dan Penggunaan
Sebagai seorang yang pertama kali menggunakan produk Jabra, secara peribadi saya merasakan ia bukanlah set fon telinga nirwayar yang menarik dari aspek rekaan. Tetapi saiz yang kecil telah memberi pelbagai kelebihan, kemudian digabungkan dengan unsur lain seperti tubuh yang ringan menjadikan fon telinga ini mudah untuk dibawa kemana-mana.

Bukan hal yang mengejutkan kerana keseluruhan produk diperbuat daripada plastik yang tidak berkilat baik pada bahagian pod pengecasan mahupun fon telinga itu sendiri. Pun begitu ia masih dipadankan dengan engsel yang terasa kukuh dan magnet yang kuat bagi mengekalkan fon telinga di tempatnya tanpa perlu risau tercicir dengan mudah.
Empat pilihan warna yang ada turut membolehkan pengguna memilih ikut kesesuaian. Sebagai contoh, saya menerima Jabra Elite 4 dalam kemasan Navy Blue yang boleh diklasifikasi sebagai alternatif pengganti hitam dengan ‘sifat’ warnanya yang gelap. Ia dilihat langsung tidak mampu mengelakkan isu calar dan pengumpulan habuk dengan mudah.
Saya menyatakan perkara ini sebagai pandangan peribadi dan tidak semua orang akan bersetuju. Namun sekiranya anda menyukai warna lebih ceria boleh cuba mendapatkan fon telinga ini dalam warna Gray, Light Beige dan Lilac.

Seterusnya ia juga meneruskan tradisi beberapa generasi sedia ada dengan pemandu audio sebesar 6mm tanpa tangkai. Pada setiap fon telinga juga terdapat empat mikrofon yang menyokong pembatalan hingar aktif terbina, di samping turut mempunyai mod telus yang membolehkan anda mendengar bunyi sekeliling. Jabra menggelarkannya sebagai HearThrough Mode dan saya akan berkongsi lanjut mengenai prestasi di bahagian kualiti audio.
Sejujurnya, saya tiada masalah dengan rekaan sebegini kerana asalkan selesa sewaktu digunakan sudah memadai. Lebih-lebih lagi sebagai wanita yang bertudung, soal keselesaan adalah menjadi keutamaan bagi mewujudkan pengalaman penggunaan yang menyeronokkan.

Sebanyak tiga pilihan saiz untuk putik silikon yang diberikan di dalam kotak pembelian dan dua daripadanya muat serta agak selesa di telinga saya. Dalam pada itu, saya juga mendapati fon telinga ini kekal terpasang kemas di telinga meskipun melibatkan pelbagai aktiviti seperti bercakap, makan, ketawa, menguap yang melampau, berjalan atau berlari.
Terdapat satu lampu LED yang boleh dijumpai pada pod pengecasan bertujuan sebagai penunjuk status bateri, pemasangan dan pengecasan. Kemudian lampu LED pada kedua-dua fon telinga turut boleh digunakan sebagai penunjuk status bateri, yang mana warna hijau memberi petanda tahap bateri berada di tahap baik serta boleh digunakan, diikuti pula warna merah pula menunjukkan bateri di tahap lemah atau sudah habis.

Dalam pada itu lampu biru akan menyala sewaktu proses tambatan pada peranti, kemudian lampu merah jambu akan menyala bermakna terdapat kemas kini sedang dimuat turun pada aplikasi Jabra Sound+. Pada bahagian belakang pula terdapat port pengecasan USB-C. Jabra turut menyediakan satu kabel USB A-C tanpa kepala pengecas dengan setiap pembelian.

Namun terdapat beberapa perkara penting yang perlu saya sentuh mengenai sambungan dan kawalan fungsi di sini. Jabra Elite 4 tidak didatangkan dengan butang manual khusus pada pod pengecasan bagi tujuan berkenaan. Sebaliknya ia perlu dibuat menggunakan butang fizikal pada kedua-dua fon telinga itu sendiri.
Akibatnya, perasaan bercampur baur mula menyelubungi saya yang mulanya rasa selesa kerana tidak perlu belajar sebarang pergerakan gerak isyarat seperti fon telinga sedia ada. Tetapi ia mula memberi ketidakselesaan kerana perlu sentiasa menolak fon telinga ke dalam salur telinga dengan lebih mendalam setiap kali mahu mengaktifkan pelbagai fungsi yang disediakan termasuk proses tambatan pada peranti.

Jabra Elite 4 juga melepasi pengiktirafan kalis percikan air dan debu IP55, menjadikannya sesuai digunakan semasa aktiviti kecergasan atau mungkin berjalan dalam hujan yang renyai sewaktu pulang daripada pejabat misalnya. Almaklumlah cuaca sekarang memang sukar dijangka, justeru itu ia boleh dianggap bagus sebagai pelindungan tambahan pada produk. Tetapi jangan pula anda merendamkannya di dalam air bagi tujuan pembersihan kerana hal berkenaan akan merosakkan fon telinga ini.
Sambungan Dan Kawalan
Dengan aplikasi Jabra Sound+, saya juga boleh mengakses pelbagai ciri dan tetapan audio yang lain. Antaranya seperti skrin utama akan memaparkan imej produk berserta nama dan status bateri untuk kedua-dua fon telinga. Kemudian saya juga boleh bertukar di antara ANC dan HearThrough Mode secara manual di bahagian Sounds Modes.
Turut disertakan pada skrin utama aplikasi ialah tetapan EQ yang menawarkan sehingga enam pilihan bunyi, sama ada Bass Boost. Neutral, Smooth, Speech dan Treble Boost. Sebagai pilihan kebolehan mencipta profil audio tersendiri turut disediakan di sini.

Menekan pada ikon tetapan pula membolehkan lebih banyak penyesuaian dibuat. Misalnya seperti kawalan pada telinga, di mana ciri sidetone membolehkan saya mendengar suara sendiri sewaktu membuat panggilan. Kemudian ciri Quick Access To Call Setting pula menyediakan kesemua tetapan panggilan di bahagian atas skrin ketika panggilan telefon dibuat. Pembatalan hingar aktif juga boleh diperibadikan dan ciri Find My Jabra pula amat membantu saya menjejak semula fon telinga.

Ketersediaan aplikasi adalah percuma dan boleh digunakan pada kedua-dua peranti sama ada Android atau iOS. Jabra Elite 4 juga dikatakan mempunyai sokongan Google Fast Pair dan Swift Pair untuk sambungan mudah ke peranti Android dan komputer riba. Namun begitu berdasarkan pengalaman saya mendapati bahawa terdapat kekurangan mengenainya yang melibatkan kegagalan berfungsi dengan baik.
Pada peranti iOS pula tambatan hanya boleh dilakukan menerusi menu bluetooth. Tambatan pula boleh dibuat menggunakan sambungan bluetooth 5.2 yang juga menyokong ciri Bluetooth Multipoint bertujuan menghubungkan dua peranti dengan lancar. Di sini telah membolehkan saya menyambungkan fon telinga ini ke iPhone 14 dan Vivo X Flip atau Huawei MateBook 16 dalam masa yang sama.

Tidak seperti kebanyakan fon telinga lain, sekali lagi saya katakan tiada kawalan sesentuh diberikan di sini. Sebaliknya kawalan secara meluruh perlu dibuat dengan cara menekan dan menahan butang pada fon telinga bagi mengakses fungsi tertentu. Mulakan dengan proses tambatan pada peranti boleh dibuat dengan cara menekan dan menahan butang pada kedua-dua fon telinga selama beberapa saat.

Kemudian bergerak pula fungsi butang pada fon telinga kiri, di mana sekali tekan membolehkan fungsi ANC/HearThrough diaktifkan serta dimatikan. Langkah yang sama turut boleh dilakukan bagi menjawab atau membisukan panggilan masuk.
Dalam pada itu tekan sebanyak sekali dan tahan sebentar pula membolehkan kelantangan audio diturunkan. Kemudian tekan sebanyak dua kali pula membolehkan pembantu maya diseru atau panggilan ditolak bagi peranti android sahaja.

Fungsi butang pada fon telinga kanan pula membenarkan anda memainkan/menjeda audio cukup baik dengan sekali tekan. Seperti sebelah kiri, langkah yang sama turut membolehkan anda menjawab atau membisukan panggilan masuk. Selanjutnya tekan sebanyak dua kali pula membolehkan anda melangkau ke trek audio seterusnya atau menamatkan panggilan masuk.
Tekan sebanyak tiga kali pula boleh melangkau ke trek audio yang sebelumnya. Dalam pada itu, anda juga boleh meningkatkan kelantangan audio yang sedang dimainkan dengan menekan sebanyak satu kali dan menahan sebentar butang pada fon telinga kanan ini.

Awal penggunaan mungkin rasa kekok dan keliru, tetapi lama kelamaan ia menjadi satu kebiasaan. Ditambah pula dengan maklum balas butang terhadap butang yang memuaskan juga memberi nilai tambah menarik buat fon telinga ini. Namun kelemahan mula kelihatan apabila saya mendapati audio atau muzik yang didengari tidak akan berhenti secara automatik sewaktu kedua-dua fon telinga ditanggalkan. Pada masa yang sama, sokongan menyambung semula alunan muzik apabila disumbat semula ke telinga juga tidak disertakan.
Kualiti Audio
Sebelum meneruskan ulasan, saya perlu membuat penafian di mana pendapat kualiti audio pendengaran adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Maka pada pendapat peribadi saya, kualiti audio di tahap yang baik untuk pelbagai genre muzik dengan penghasilan bunyi agak seimbang di antara kualiti bass dan treble.
Pada tetapan paling tinggi, audio boleh didengari dengan baik tanpa isu pecah. Sekaligus membolehkan alunan setiap suara juga didengari dengan cukup jelas. Namun bagi anda yang lebih gemar bunyi bass yang berlebihan boleh membuat pengubahsuaian menerusi menu Equalizer pada aplikasi Jabra Sound+.

Sokongan pembatalan hingar aktif juga baik dengan kemampuan menghalang pencemaran audio luar. Kebolehan pengubahsuaian secara peribadi menerusi tetapan di aplikasi juga memberi nilai tambah buat fon telinga ini. Sementara itu, ciri HearThrough pula membenarkan audio dari luar didengari sekaligus membantu saya peka terhadap keadaan sekeliling.
Kualiti mikforon juga tidak begitu menakjubkan tetapi masih bagus. Setiap panggilan boleh dibuat dengan baik meskipun saya berada dalam ruang bilik yang bising. Penerima juga masih boleh mendengar setiap butiran percakapan dengan jelas tanpa isu suara terputus-putus.
Ketahanan Bateri
Jabra Elite 4 diiklankan mampu bertahan dengan masa penggunaa sehingga 5.5 jam secara berterusan. Kemudian meningkat pula kepada 22 jam lamanya dengan bantuan pod pengecas. Bukan dakwaan yang tidak berasas tetapi hampir tepat dengan penggunaan tahap audio yang tinggi saya hampir mendapat kitaran masa yang diiklankan ini. Seperkara yang saya perasan juga fon telinga bahagian kanan lebih cepat kehabisan bateri berbanding kiri. Ini merupakan pengalaman yang sama dialami oleh saya sewaktu membuat ulasan beberapa fon telinga sebelum ini.

Apa Di Dalam Kotak?
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Jabra Elite 4 di Malaysia.
- 1 X Jabra Elite 4.
- 1 X Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 3 x Pasang putik silikon pelbagai saiz.
- 1 X Manual pengguna.
Kesimpulan
Jabra Elite 4 boleh diposisikan sebagai set fon telinga untuk kegunaan harian biasa, sama ada digunakan bagi tujuan kerja, belajar ataupun berhibur. Ia juga boleh dibeli bagi mereka yang memerlukan fon telinga untuk bersenam kerana dilengkapi penarafan kalis air serta debu IP55. Bukan itu sahaja, fon telinga ini juga ditujukan buat anda yang gemar mencipta profil audio peribadi kerana ia boleh dilakukan menerusi aplikasi dengan melaraskan tetapan EQ tersedia. Jabra Elite 4 juga mungkin bukanlah yang terbaik apabila kekurangan besar yang melibatkan isu keselesaan mula timbul sewaktu mengakses pelbagai fungsi terbina. Lebih mencacatkan keadaan apabila fungsi Fast Pair langsung tidak boleh digunakan dengan baik untuk unit ulasan diterima.
Pro
- Kompak dan mudah digunakan.
- Kebolehan mencipta profil audio tersendiri.
- Bateri bertahan lama.
- Penarafan kalis air IP55.
Kontra
- Mudah calar dan berhabuk.
- Tahap bateri tidak sekata.
- Fungsi Fast Pair tidak berfungsi dengan baik.
