Realme C53 Kini Rasmi Dengan Harga Bermula RM599
Fahim Zahar
Realme Malaysia nampaknya ingin lebih ramai orang menggunakan ciri seakan Dynamic Island mereka iaitu Mini Capsule. Ini kerana hari ini mereka melancarkan sebuah lagi telefon pintar yang menyokong ciri seperti Realme C55 sebelum ini.

Peranti ini adalah Realme C53 yang hadir dengan skrin LCD HD+ bersaiz 6.74″ yang menyokong kadar segar semula 90Hz dan menggunakan rekaan skrin dengan takuk kecil. Peranti dijana cip Unisoc T612 (12nm) dengan kuasa mencapai 1.82GHz dan GPU ARM Mali-G57. Memori pula adalah 6GB RAM LPDDR4X dengan sokongan memori maya dan storan dalaman pula adalah 128GB yang boleh dikembangkan dengan kad mikro SD mencapai 2TB.

C53 menggunakan konfigurasi dwi-kamera 50MP AI + 2MP potret dan kamera swafoto 8 Megapixel. Realme menjanjikan kamera dengan kemampuan kecerdasan buatan yang baik serta ciri mereka yang terkenal seperti mod malam dan penuras istimewa. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 33W.

Realme C53 adalah satu lagi peranti Realme dengan ciri seakan Dynamic Island iaitu Mini Capsule yang boleh memaparkan status pengecasan, peratusan bateri, notifikasi dan banyak lagi. Peranti baharu ini turut menjalankan Realme UI T Version berasaskan Android 13 yang mirip Android asli.

Peranti ini turut hadir dengan port sambungan bicu audio 3.5mm, menggunakan sambungan USB-C, menyokong Bluetooth 5.0 dan hadir dengan rekaan moden iaitu rata di sekeliling termasuk pada bahagian skrin.

Peranti ini sebenarnya adalah penjenamaan semula kepada Realme Narzo N53 yang dilancarkan di India sebelum ini. Di Malaysia Realme C53 dijual pada harga RM599 untuk variasi 6/128 GB. Hanya ada satu variasi sahaja dengan dua pilihan warna iaitu emas atau hitam.