Salah satu isu yang dilihat sering membelenggu syarikat-syarikat teknologi dengan perkhidmatan atas talian ialah isu pengumpulan dan penyimpanan data pengguna. Syarikat-syarikat seperti Google, Facebook, Microsoft rata-rata pernah disaman pelbagai kerajaan kerana gagal untuk memastikan data tersebut selamat.
Terkini, Microsoft telah mengesahkan bahawa mereka akan membayar pihak Federal Trade Commission sebanyak $20 juta (RM92 juta) diluar mahkamah untuk menyelesaikan isu pengambilan data pengguna kanak-kanak tanpa kebenaran ibu-bapa.
Ini khususnya adalah untuk pendaftaran perkhidmatan Xbox Live yang rata-rata mengumpul butiran peribadi pengguna kanak-kanak ini, termasuklah nama penuh, alamat emel dan sehingga 2021, termasuklah nombor telefon mereka.
Malah, gamer tag yang digunakan oleh Xbox untuk pengguna perkhidmatan juga merupakan pengesah unik yang boleh digunakan oleh pembangun parti ketiga, dan boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat-maklumat peribadi ini.
Microsoft juga telah diarahkan untuk mengubah cara akaun Xbox Live dicipta untuk kanak-kanak yang mendaftar untuk akaun tersebut. Selain daripada meminta tarikh lahir pengguna, ia juga akan meminta ibu-bapa untuk kebenaran memasukkan butiran tambahan seperti nama, nombor telefon dan sebagainya.
Untuk pemilik akaun yang berumur dibawah 13 tahun pada 31 Mei 2021, pemilik akaun tersebut juga akan diminta untuk melalui proses verifikasi sekali lagi untuk memastikan bahawa akaun mereka adalah jitu.