DARPA Ingin Merealisasikan Sistem Tujahan Magneto “Red October” Yang Senyap
Effi Saharudin
Tom Clancy ialah penulis yang ini namanya lebih kerap dikaitkan dengan siri permainan video Ghost Recon, The Division dan Splinter Cell. Tetapi nama beliau menjadi sebutan ramai selepas menerbitkan buku The Hunt for Red October pada tahun 1984 yang kemudiannya diadaptasi menjadi filem lakonan Sean Connery. Dalam buku ini sebuah kapal selam nuklear Red October diburu tetapi sukar dijejak kerana menggunakan sistem tujahan magnetohydrodynamics (MHD) yang senyap.

Ramai tidak menyedari teknologi MHD sudah wujud lebih tujuh dekad tetapi kekangan saiz dan kecekapan menggunakan tenaga membuatkan ia tidak digunakan dengan meluas. Namun begitu DARPA, agensi yang menggalakkan pengguna teknologi baharu di Amerika Syarikat telah memulakan program Principles of Undersea Magnetohydrodynamic Pumps (PUMP) untuk merealisasikan teknologi MHD untuk kapal dan juga kapal selam kegunaan tentera.

Sistem MHD menghasilkan tujahan menerusi sistem elektromagnet. Kelebihan MHD ialah ia tidak mempunyai sebarang komponen mekanikal yang bergerak. Medan magnet digunakan untuk menolak air ke dalam sebuah tiub. Bayangkan sebuah enjin jet tetapi tanpa sistem pemampat, bahan api perlu dibakar atau kipas yang berputar.
Dari sudut ketenteraan, MHD ialah sistem tujahan yang senyap. Apabila digunakan pada kapal selam seperti “Red October”, ia tidak boleh dikesan oleh sistem hidrofon sekarang. Bagi tujuan intipan dan menceroboh perairan musuh, MHD akan menghasilkan kapal selam yang mempunyai kemampuan sama seperti pesawat “stealth” yang tidak boleh dikesan radar.
[sumber] DARPA [/sumber]