Cari @ Amanz

Intel secara lazimnya akan menamatkan pengeluaran cip-cip pemprosesan siri lama mereka apabila teknologi baru dan sedia ada sudah memasuki fasa matang dan digunakan secara meluas. Kini nampaknya tiba giliran siri cip pemprosesan generasi ke-11 mereka pula, ataupun Tiger Lake untuk ditamatkan pengeluarannya.

Dilancarkan pada tahun 2020, siri cip pemprosesan Tiger Lake merupakan cip pemprosesan pertama yang memperkenalkan cip grafik Intel Xe kedalam siri komputer riba Intel, yang dilihat hadir dengan prestasi yang lebih baik dan cekap berbanding dengan penawaran sebelum ini.

Sebelum ini, Intel sudahpun menamatkan pengeluaran untuk sejumlah model cip Tiger Lake, termasuklah Tiger Lake-B untuk komputer desktop bersaiz kecil dan juga Tiger Lake-H untuk komputer riba berprestasi kelas pertengahan dan juga cip pemprosesan kelas Xeon-W.

Bermula minggu ini, Intel dilaporkan telah menghentikan pengeluaran untuk siri cip pemprosesan Tiger Lake yang lain, termasuklah Tiger Lake-U dan Tiger Lake-Y untuk komputer riba nipis dan ringan. Intel juga dilihat akan menghentikan pengeluaran cipset Intel 500-series, yang termasuklah untuk papan induk kelas HM570, WM590, dan QM580. Tarikh akhir untuk pembelian cipset ini ditetapkan pada 27 Oktober ini.

Produk sedia ada yang menggunakan cip pemprosesan Intel generasi ke-11 ini dilihat akan dijual lagi di pasaran, tetapi ia dijangka bahawa tiada produk baru yang menggunakan cip pemprosesan tersebut akan dijual selepas ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd