Aksesori yang biasa dibeli oleh penggemar fotografi ialah tripod, cagak, dan gimbal. Tetapi Stockcam ialah sebuah aksesori yang membolehkan kamera digital digunakan seperti selaras senapang. Kamera diletakkan di atas Stockcam dan ia boleh dipegang seperti sebuah senapang.
Terdapat picu yang membolehkan pengguna “menembak” gambar. Terdapat suis untuk mod kunci, fokus dan Fast Dalam mod kunci, picu tidak boleh ditarik. Tidak akan berlaku insiden gambar diambil secara tidak sengaja. Mod fokus pula memfokus kamera apabila picu ditarik, tarik picu sebanyak dua kali untuk mengambil gambar. Mod akhir pula ialah Fast yang memulakan rakaman video pada kamera.
Terdapat rel Picatinny untuk meletakkan aksesori tambahan lain seperti lampu dan mikrofon. Sebuah tali pengikat juga membolehkan kamera disandang seperti sebuah senapang apabila tidak digunakan. Kamera yang boleh digunakan bersama Stockcam pula ialah Canon, Fujifilm, Nikon, Panasonic, Pentax, dan Sony. Stockcam akan mengumpul dana menerusi laman Indiegogo tetapi harga belum diumumkan.