SK Hynix ialah diantara syarikat pembuat cip memori dan storan yang terkenal, khususnya untuk cip NAND 3D 176 lapis mereka yang dimanfaatkan oleh pelbagai jenama.
Terkini, mereka telah mengumumkan bahawa mereka telahpun mula mengeluarkan proses pengeluaran cip 4D 238 lapis secara besar-besaran. Cip ini dijangka akan digunakan bukan sahaja dalam storan SSD kelas premium, tetapi juga untuk storan dalaman peranti-peranti pintar.
Kelebihan menggunakan cip NAND 238 lapis ini dilihat hadir dalam beberapa bentuk. Pertama ialah melalui jumlah storan yang boleh dibangunkan dengan satu cip sahaja, SK Hynix telah membangunkan satu komponen storan menggunakan satu cip 4D ini, dan hadir dalam storan 512Gb ataupun 64GB.
Ia juga hadir dengan kadar penghantaran data 2400MT/s yang mana ia akan bermanfaat untuk mereka yang mahu membangunkan storan yang memanfaatkan sambungan PCIe 5.0 dan mempunyai kadar penghantaran dan pembacaan data sekurang-kurangnya 12GB/s.
Untuk pihak SK Hynix juga, cip NAND 238 lapis ini dilihat mempunyai kecekapan pengeluaran 34 peratus lebih tinggi berbanding dengan cip 176 lapis sebelum ini, yang dilihat bukan sahaja membolehkan SK Hynix untuk mengeluarkan lebih banyak cip berbanding sebelum ini, tetapi juga untuk melakukannya dengan kos yang lebih rendah, khususnya dari segi kos bahan dan juga penggunaan tenaga.
Cip NAND 238 lapis SK Hynix ini dijangka akan digunakan pada peranti-peranti pintar terlebih dahulu, dan dijangka akan tiba untuk komputer riba, dan kemudiannya penggunaan untuk storan SSD komputer kelas desktop kelak.