Program ujian sistem operasi Windows Insider Program memberi peluang kepada para pengguna sistem operasi Microsoft Windows untuk melihat dan menguji ciri-ciri terbaru sistem operasi tersebut sebelum ia dilancarkan secara meluas.
Terkini, salah satu ciri yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai, iaitu Dynamic Lighting akhirnya sudah mula diperkenalkan melalui versi Insider Program terbaru, Insider Preview Build 23475. Ciri Dynamic Lighting merupakan sebuah ciri dimana pengguna boleh mengawal sistem pencahayaan RGB terbina didalam komputer desktop ataupun komputer riba tanpa perlu memasang perisian kawalan lampu RGB.
Microsoft dilihat bekerjasama dengan Acer, Asus, HP, HyperX, Logitech dan Razer untuk membolehkan pengguna untuk menatal suis buka dan tutup sistem pencahayaan RGB secara terbina dan tanpa perlu memasang perisian parti ketiga.
Buat masa ini, fungsi Dynamic Lighting ini dilihat terhad kepada tatalan memasang dan mematikan sistem pencahayaan tersebut, dan fungsi seperti mengubahsuai kecerahan dan efek warna. Microsoft juga mengatakan bahawa buat masa ini ciri ini dilihat berfungsi baik dengan aksesori berwayar, dan untuk peranti nirwayar, mungkin ada beberapa isu dalam memastikannya berfungsi dengan baik.
Dalam pada itu, dengan binaan Windows Insider terbaru ini juga, Microsoft telah memperlihatkan rekaan File Explorer yang baru, dengan rekaan ikon yang lebih besar, dan juga memperlihatkan bahagian dokumen yang baru dibuka yang lebih jelas kelihatan, dan boleh ditampal sebagai dokumen-dokumen yang sering dibuka jika dimahukan. Bahagian kotak alamat File Explorer juga kini boleh membezakan antara folder setempat ataupun awanan dengan mudah.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan memperkenalkan ciri-ciri ini untuk pengguna Windows 11 biasa.