Perkongsian maklumat Sony WF-1000XM5 yang semakin banyak memberi petanda bahawa tarikh pelancarannya juga sudah semakin hampir. Terbaharu tular beberapa gambar menerusi perkongsian laman WinFuture yang memperlihatkan rekaan fon telinga berkenaan dengan lebih menyeluruh.

Ia menunjukkan sepasang fon telinga dalam dua warna yang berbeza iaitu perak dan hitam. Melihat pada rekaan luaran, kemasan berkilat yang digunakan pada kali ini membuatkannya nampak lebih premium berbanding sentuhan pusam pada XM4. Perubahan ketara juga terletak pada pod pengecas yang kini lebih kompak dan membulat. Dalam pada itu, dipercayai turut memuatkan port pengecasan USB-C namun belum dapat dipastikan sama ada pada bahagian belakang atau bawah.

Putik audio XM5 juga jelas lebih kecil berbanding pendahulunya yang seharusnya memberi lebih keselesaan sewaktu dipakai. Terdapat ura-ura mengatakan XM5 boleh digunakan sehingga 24 jam yang juga menyokong pengecasan secara nirwayar. Pengecasan selama 3 minit membolehkan masa main balik sehingga 1 jam penggunaan, di mana lebih baik berbanding XM4 yang memerlukan pengecasan selama 15 minit.