Acer, pengeluar komputer terkemuka Taiwan kini mengacah kehadiran penapis air ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Model yang bakal ditawarkan adalah Acerpure Aqua WP1.
Penapis air ini baru sahaja diperkenalkan pada acara Computex 2023 lepas, dimana ia hadir dengan kebolehan untuk mengeluarkan air pada suhu sejuk atau panas, dan turut boleh menetapkan had kuantiti air yang dikeluarkan setiap kali.
Pada masa yang sama, penapis air ini tidak memerlukan pemasangan paip khusus seperti pada Coway dan lain-lain, sebaliknya ia menggunakan tank air dengan kapasiti 8.7 liter, dan air berkenaan akan melalui penapisan empat tahap. Seperti biasa, ia turut menyertakan sistem penapis yang boleh digantikan oleh pengguna.
Acer menjadualkan pelancaran rasmi pada 15 Jun 2023 kelak, tetapi mengikut laman rasmi Acer (melalui Nextrift), ia disenaraikan pada harga RM3599.