CEO Meta, Mark Zuckerberg kini melalui sebuah mesyuarat dalaman bersama para pekerja Meta, memaklumkan ingin mengintegrasikan sokongan teknologi penjanaan atau generatif berasaskan kecerdasan buatan pada setiap produk mereka – termasuk Facebook, Messenger, WhatsApp dan Instagram.
Meta sedia melakukan pelaburan yang tinggi dalam arena kecerdasan buatan, tetapi tidak pernah lagi menawarkan produk kepada pengguna sehingga kini. Dengan letusan produk-produk berbentuk generatif berasaskan kecerdasan buatan seperti MidJourney, ChatGPT dan lain-lain, kini Meta turut tidak ingin ketinggalan.
Beberapa perkara sedia dirancang, termasuk menjana model visual 3D untuk metamesta, selain turut merancang menawarkan perkhidmatan mengubah gambar berasaskan input teks dan kongsikan ia melalui Instagram Stories.
Pada masa yang sama, Meta turut merancang integrasi chatbot pada WhatsApp dan Messenger.
Buat masa ini, tiada sebarang latar masa diberikan. Dengan perkembangan sihat arena kecerdasan buatan kebelakangan ini, kita mungkin melihat integrasi ini seawal tahun 2023 ini.