Carian
Twitter Dilihat Enggan Membayar Bil Perkhidmatan Google Cloud
June 12, 2023 Nazrin

Dalam percubaan untuk mengurangkan kos operasi Twitter, Elon Musk dilihat telah melakukan semuanya, mengurangkan jumlah pekerja, mengurangkan penggunaan API, memperkenalkan ciri langganan Twitter Blue, tidak membayar sewa bangunan dan terkini, syarikat tersebut dilihat enggan membayar perkhidmatan awanan yang dilanggannya sebelum ini.

Ini termasuklah keengganan untuk membayar perkhidmatan awanan Google Cloud, yang merangkumi beberapa perkhidmatan penting seperti sistem keselamatan Twitter yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut. Ini termasuklah sistem seperti pembasmian spam, keselamatan akaun dan juga pencarian dan pembuangan kandungan seperti video lucah dan juga kandungan penyeksaan seksual kanak-kanak di platform tersebut.

Kontrak langganan Google Cloud ini dilihat merupakan sebuah kontrak multi-tahunan dan Twitter dikatakan telahpun cuba untuk berunding semula dengan Google untuk mengurangkan kosnya. Akan tetapi, rundingan tersebut nampaknya tidak memihak Twitter, dan syarikat milik Elon Musk tersebut tidak akan membayar yuran bulanan perkhidmatan tersebut, dan juga sebarang bayaran tertunggak yang lain.

Twitter sebelum ini juga dilaporkan tidak membayar yuran mesin pelayan Amazon Web Services, dan ini menyebabkan Amazon mengatakan bahawa mereka akan menahan bayaran pengiklanan sehingga bayaran tertunggak dibayar.

Komen