Laman Web Reddark Menjejak Laman Subreddit Yang Dikunci Sewaktu Protes
Nazrin
Pihak pengurusan Reddit baru-baru ini telah memperkenalkan polisi baru terhadap penggunaan API mereka, dengan salah satu pembangun aplikasi terbesar platform tersebut, Apollo Reddit mengatakan bahawa CEO syarikat tersebut, Steve Huffman mengatakan bahawa mereka perlu membayar $20 juta (~RM92 juta) setahun untuk kekal menggunakan API tersebut.
Hari ini, beribu-ribu laman subreddit telah dikunci sebagai protes terhadap polisi baru ini yang dilihat menyebabkan puluhan pembangun aplikasi dan pelbagai jenis perkhidmatan yang menggunakan API Reddit ini untuk ditutup menjelang penghujung bulan ini.

Laman web Reddark telah dibangunkan untuk menjejak laman-laman web yang dikunci ini, dan melalui laman hadapan, ia dilihat bahawa lebih dari 7000 laman Subreddit telah dikunci untuk sekurang-kurangnya 48 jam, dengan sejumlah laman seperti /r/videos akan dikunci sehingga pihak pengurusan Reddit mengubah keputusan berkenaan API ini.
Laman web ini juga menjejak laman-laman Subreddit yang dikunci dalam masa nyata dengan notifikasi di bahagian tepi laman web ini. Ia juga menjejak jumlah pengguna Reddit yang melanggan kepada laman-laman ini, dan ia menghampiri 2.5 bilion pengguna.
Setakat ini, laman-laman Subreddit terbesar yang dilihat telah dikunci termasuklah /r/funny dengan 40+ juta pengguna, /r/gaming, /r/music dan /r/science dengan 30+ juta pengguna dan /r/art, /r/videos dan /r/food dengan 20+ juta pengguna.
[sumber]Reddark[/sumber]