Perang dingin berkenaan industri cip silikon diantara China dan Amerika Syarikat dilihat sudah semakin parah, dengan beberapa negara lain bersekongkol dengan Amerika Syarikat untuk memastikan bahawa China tidak boleh membangunkan industri cip semikonduktor yang maju.
Terkini, kerajaan Belanda dilaporkan sedang menggubal undang-undang baru untuk memastikan bahawa para pelajar asing tidak boleh mempelajari subjek berkaitan pembangunan cip semikonduktor di negara tersebut.
Kementerian Pendidikan Belanda mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan langkah-langkah untuk menapis kemasukan pelajar ke universiti-universiti di negara tersebut untuk memastikan bahawa maklumat berkaitan teknologi pembuatan kelengkapan cip semikonduktor tidak tertiris ke pihak yang tidak sepatutnya. Dikatakan bahawa penapisan ini bersifat neutral dan tidak menyekat pelajar dari mana-mana negara secara khusus.
Jika Taiwan dan TSMC adalah faktor terpenting dalam pembangunan cip semikonduktor dan cip pemprosesan untuk jenama-jenama teknologi terkenal di dunia, Belanda dan syarikat seperti ASML adalah penting untuk membangunkan kelengkapan yang diperlukan untuk membangunkan cip-cip pemprosesan ini.
Malah, langkah terbaru ini tidak begitu mengejutkan khususnya apabila ia telah dilaporkan bahawa Belanda juga telah menyekat penjualan kelengkapan berkaitan pengeluaran cip semikonduktor ke China.