Intel, pengeluar cip pemprosesan komputer terkemuka dunia, kini dilaporkan dalam perbincangan bersama pihak Softbank untuk menjadi pelabur utama ketika penawaran awam (IPO) syarikat Arm kelak.
Arm merupakan perekabentuk cip yang digunakan secara meluas di pasaran, termasuk oleh Qualcomm, Intel, AMD, NVIDIA, Samsung dan sebagainya. Sebelum ini, NVIDIA telah menawarkan untuk membeli Arm, tetapi perkara tersebut tidak dipersetujui pelbagai pihak sehingga membawa kepada pembatalan transaksi berkenaan.
Kini, selepas urusan jual-beli tidak diteruskan, Arm melihat untuk penyenaraian awam syarikat mereka di Nasdaq pada tahun ini. Melalui penyenaraian awam tersebut, Arm menyasarkan untuk meraih dana sehingga $10 bilion.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berapakah pelaburan yang akan dilakukan oleh Intel – dan sama ada ia akan mempunyai kesan atas operasi Arm dan perniagaan sekiranya mendapatkan pegangan melalui penyenaraian awam ini.