NVIDIA telah memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 yang terdiri daripada kad grafik tersebut dan juga GeForce RTX 4060 Ti beberapa minggu lalu, dan walaupun kad grafik GeForce RTX 4060 Ti dengan 8GB memori telah dilancarkan pada penghujung tahun lepas, tarikh pelancaran kad grafik GeForce RTX 4060 sudahpun tertiris ke internet.
Melalui laman web VideoCardz ia telah dilaporkan bahawa kad grafik tersebut akan dilancarkan pada 29 Jun ini, lebih awal berbanding dengan jangkaan pelancaran pada bulan Julai yang ditetapkan sebelum ini.
Kad grafik ini hadir dengan penggunaan cip pemprosesan grafik AD107-400, mempunyai 3072 teras CUDA dengan kelajuan Boost Clock sepantas 2.4GHz. Ia juga mempunyai jumlah memori yang sama dengan model asas RTX 4060 Ti, iaitu 8GB memori GDDR6, tetapi mempunyai kelajuan dan lebar jalur yang lebih rendah berbanding model tersebut (17Gbps, 272GB/s).
Walaupun begitu, kad grafik ini merupakan satu-satunya kad grafik dalam siri GeForce RTX 4000 dengan penggunaan kuasa serendah 115W sahaja, menjadikannya sebuah pilihan yang cukup baik untuk binaan komputer gaming berkuasa rendah.
Kad grafik ini juga dijangka tidak mempunyai rekaan Founders Edition dan akan dijual oleh jenama-jenama pembuat kad grafik terkemuka apabila dilancarkan pada harga pasaran $299 (~RM1381).