Carian
Perkhidmatan Maybank EzyWasiat Membolehkan Wasiat Dihasilkan Dalam Masa 30 Minit
June 14, 2023 Effi Saharudin

Setiap insan akan merasai mati dan walaupun ia sebuah kepastian, ramai memandang enteng tentang penghasilan wasiat semasa masih hidup. Menyedari hakikat ini, pagi ini Maybank melancarkan perkhidmatan EzyWasiat yang boleh melakukan urusan penghasilan wasiat dalam masa hanya 30 minit.

EzyWasiat menyasarkan pelanggan beragama Islam dan oleh itu hadir dengan ciri yang selari dengan keperluan faraid dan mematuhi hukum Syariah. Pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan dan melakukan bayaran serendah RM600. Menurut Maybank, EzyWasiat adalah untuk memberikan kelapangan minda dalam pengurusan harta dan memastikan ia diuruskan dengan betul selepas kematian seseorang individu.

Walaupun EzyWasiat menyasarkan kepada umat Islam, ia sebenarnya juga terbuka kepada bukan Islam yang telah lama ingin menghasilkan wasiat tetapi terhalang disebabkan pelbagai faktor seperti kos, kurangnya kemudahan dan proses yang rumit.

Walaupun urusan pendaftaran dilakukan sepenuhnya secara atas talian, proses urusan dan perbincangan lebih lanjut masih boleh dilakukan secara fizikal oleh pelanggan. Menurut Maybank, urusan EzyWasiat juga ditawarkan di kesemua cawangan bank. Akhir sekali pada waktu ini pendaftaran hanya menerusi laman web dengan tiada perancangan mengintegrasikannya dalam aplikasi Maybank sedia ada.

Perkhidmatan EzyWasiat ini adalah hasil kerjasama Maybank Islamic dan CreateWills Sdn Bhd dengan ia dilakukan sepenuhnya secara atas talian. Untuk maklumat lebih lanjut mereka yang bereminat boleh melawat laman EzyWasiat hari ini.

Komen