Apple memperkenalkan cip silikon Apple M mereka untuk dua tahun sekarang yang memperlihatkan prestasi perkomputeran yang jauh lebih berkuasa dan cekap berbanding dengan jenama-jenama yang lain, menjadikan komputer-komputer MacOS sebagai pilihan pertama untuk tujuan produktiviti.
Tetapi sehingga kini, prestasi gaming merupakan kelemahan utama peranti-peranti ini, khususnya kerana pembangun permainan jarang sekali membangunkan permainan komputer untuk platform ini. Walaupun begitu, Apple baru sahaja memperkenalkan satu perisian baru yang dinamakan Game Porting Toolkit sewaktu acara WWDC pada minggu lepas yang membolehkian permainan-permainan pada platform Windows dimainkan pada MacOS.
Baru-baru ini, prestasi perisian Game Porting Toolkit telah diperlihatkan, dan ia agak mengejutkan. @isaacmarovitz di Twitter telah memperlihatkan bagaimana Cyberpunk 2077, salah satu permainan yang paling berkuasa pernah dilancarkan boleh dimainkan dengan tetapan Ultra pada sebuah Macbook Pro M1 dengan memori 16GB pada kadar segar semula 14FPS. Satu lagi ujian memperlihatkan permainan yang sama digerakkan pada kadar segar semula 40FPS dengan tetapan yang sama pada sebuah peranti Mac yang menggunakan cip pemprosesan M2 Max.
Malah, permainan-permainan seperti Diablo IV dan Hogwarts Legacy juga diuji pada cip-cip pemprosesan Apple M1 Max dan Apple M2 dan boleh digerakkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang masalah, juga pada kadar segar semula yang tinggi kerana semua paparan peranti Macbook yang diuji mempunyai kadar segar semula maksima tersebut.
Game Porting Toolkit dibangunkan menggunakan kod sumber terbuka Crossover yang dibangunkan oleh pasukan perisian sumber terbuka Codeweavers yang dilihat menyokong pelbagai jenis API grafik, termasuklah DirectX12 yang membolehkan permainan-permainan moden digerakkan pada peranti MacOS tanpa memerlukan input pengguna.
Pembangunan kod Game Porting Toolkit ini dilihat masih lagi dalam fasa ujian kerana ia juga masih lagi mempunyai sejumlah pepijat yang perlu diperbaiki. Fungsi ini juga dilihat hanya akan disokong pada sistem operasi MacOS Sonoma yang masih lagi berada dalam fasa beta pembangun (developer beta) buat masa ini.