Adobe baru-baru ini telah mengembangkan ciri kecerdasan buatan mereka Adobe Firefly kepada Adobe Illustrator pula. Tetapi kali ini bukan untuk menjana grafik. Sebaliknya pengguna boleh menggunakan prom teks untuk mewarnakan semula karya masing-masing.

Ciri yang digelar sebagai Generative Recolor ini masih dalam fasa ujian beta. Melaluinya pengguna boleh mengubah vektor karya yang dihasilkan dengan pelbagai pelet warna unik atau juga tema berbeza. Contoh yang diberikan Adobe adalah memasukkan prom teks “Neon lights” atau “Salmon sushi” dan karya pengguna tadi akan terus diwarnakan.

Selain itu, Adobe llustrator turut menyokong Retype iaitu ciri pintar di mana muka taip boleh dihasilkan berdasarkan imej statik atau teks yang tidak boleh disunting. Jika muka taip itu tidak wujud, Adobe akan mencari yang paling serupa dalam Adobe Fonts.

Illustrator baharu ini turut mengemaskini kemampuan imej diubah kepada bentuk lakaran agar vektor boleh dihasilkan. Kemudian jika karya pengguna mempunyai banyak lapisan, kini boleh terus ditapis dan dicari dengan mudah. PDF Preset Memory turut diperkenalkan di mana preset terakhir yang digunakan akan disimpan dan digunakan semula.

Akhir sekali Illustrator kini membenarkan pengguna kongsi karya yang dihasilkan melalui pautan khas untuk menerima maklum balas. Akses kepada pautan boleh dikunci dengan kata laluan, rakan kerja atau klien boleh meninggalkan komen dan akaun Adobe tidak diperlukan.
Akses kepada ciri baharu ini masih dalam peringkat ujian beta lagi. Bagi yang berminat anda boleh terus memuat turunnya melalui Adobe Creative Cloud.