Kemaskini baharu Instagram kini membenarkan pengguna meletakkan lagu pada ciri Notes yang dimuatnaik. Melaluinya, pengguna boleh menyertakan klip lagu berdurasi 30 saat beserta kapsyen ringkas dalam kemaskini status.

Ia bukan sahaja ciri yang menyeronokkan untuk dicuba, malahan turut sama memberi peluang kepada pengguna untuk menggunakan ciri tersebut dengan cara lebih menarik. Dalam pada itu, perkongsian audio ini juga membolehkan anda berkongsi lagu yang sedang didengar secara langsung dan bukan sekadar menyatakan artis dan tajuk semata-mata.
Sebagai tambahan, Instagram juga menggabungkan butang terjemahan terbina untuk kemaskini Notes yang ditulis dalam bahasa selain daripada tetapan lalai. Ia juga ciri yang menarik kerana membolehkan pengguna memahami pelbagai bahasa terperinci tanpa masalah.

Buat masa ini, semakan kami bagaimanapun belum menerima sebarang kemaskini untuk kedua-dua ciri yang dinyatakan. Justeru kita boleh menganggap ia diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna Instagram.