Logitech merupakan jenama perkakasan dan aksesori komputer yang tidak asing lagi bagi mereka yang berkecimpung didalam dunia perkomputeran. Dari perkakasan audio ke papan kekunci, tetikus, kerusi gaming dan sebagainya, Logitech mempunyai sesuatu untuk menaiktarafkan pengalaman menggunakan komputer anda.
Terkini, Logitech SA (Swizerland-America) telah mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Bracken Darrell telah meletakkan jawatan secara serta-merta untuk meneroka peluang baru. Beliau dilaporkan juga akan membantu peralihan kuasa dan tanggungjawab syarikat pada bulan ini sebelum meninggalkan Logitech sepenuhnya.
Bracken Darrell akan digantikan oleh Guy Getch, seorang ahli lembaga syarikat buat masa ini sewaktu Logitech mencari pengganti CEO sepenuh masa.
Ia dilaporkan bahawa Bracken Darrell meletakkan jawatan selepas pengumuman bahawa pendapatan suku keempat 2022 Logitech menurun 22 peratus dari tahun ke tahun, kerana kesukaran untuk mengekalkan jumlah jualan yang sama sewaktu era pandemik COVID-19. Bracken ialah CEO Logitech sejak tahun 2013 dan telah mengambilalih syarikat-syarikat seperti Ultimate Audio, Blue, Streamlabs dan ASTRO Gaming.
Beliau juga mengatakan bahawa ini merupakan masa yang sesuai untuk Logitech diketuai oleh seseorang yang baru untuk membolehkan syarikat tersebut kekal berdaya saing dengan idea baru.