Kenderaan Elektrik Toyota Di Masa Hadapan Akan Mempunyai Jarak Perjalanan 1000KM
Nazrin
Dengan jarak perjalanan sekitar 300-400KM dengan satu pengecasan penuh, salah satu isu yang dilihat membelenggu kenderaan-kenderaan elektrik ialah kesukarannya untuk digunakan buat tujuan perjalanan merentas negeri tatkala penggunaannya semakin meluas.
Toyota kini telah mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan teknologi bateri kenderaan elektrik serba baru yang menggunakan teknologi keadaan pepejal (solid state) yang akan hadir dengan kebolehan untuk menyimpan cas yang mencukupi untuk perjalanan sejauh 1000KM dengan satu pengecasan penuh.

Walaupun begitu, pembangunan bateri ini dijangka akan memakan masa terlebih dahulu khususnya kerana penggunaan bateri keadaan pepejal ini bukanlah sesuatu yang jimat kos buat masa ini.
Toyota mengatakan bahawa untuk jangka masa singkat dan sederhana ini, mereka akan membangunkan teknologi bateri menggunakan litium-ion yang hadir dengan penyimpanan cas lebih tinggi dan pengecasan lebih pantas untuk kenderaan yang 2026, yang kemudiannya akan diganti dengan penggunaan litium besi fosfat yang lebih jimat kos berbanding dengan litium ion.
Pengkomersilan bateri keadaan pepejal dijangka akan bermula sekitar 2027-2028, tetapi dijangka akan hadir dengan kos yang sangat tinggi sekali, jadi penggunaan awalnya akan terhad kepada kenderaan elektrik kelas premium terlebih dahulu.
Satu kelebihan bateri keadaan pepejal ini, selain daripada kebolehan memegang cas yang lebih banyak ialah ia boleh dicas dengan lebih pantas, dengan Toyota mengatakan bahawa dengan pengecasan selama 15 minit, sebuah kenderaan elektrik Toyota mempunyai jarak perjalanan sekitar 321KM.

Pelan Toyota untuk membangunkan kenderaan elektrik yang memanfaatkan bateri elektrik ini bukanlah sesuatu yang baru. Mereka baru membangunkan kilang BEV (Battery Electric Vehicle) pada bulan Mei ini, dan dilihat mahu membangunkan sebanyak 1.7 juta kenderaan BEV menjelang 2030, yang dijangka akan menggantikan penawaran kenderaan elektrik hibrid mereka sekarang.
Dengan kilang ini, Toyota mengatakan bahawa mereka juga akan mengurangkan kos pembangunan kenderaan EV baru mereka dengan menggunakan teknik giga-casting untuk mengecap bahagian-bahagian besar kenderaan mereka.
Walaupun mereka masih tidak mempunyai penawaran kenderaan elektrik penuh mereka sendiri, Toyota dijangka akan memperkenalkan penawaran mereka tidak lama lagi.
[sumber]Toyota [/sumber]