Troli Pintar EzyCart Dilancarkan Bagi Memudahkan Pengguna Membeli-Belah
Amy Maizuraa
Sesuai dengan kemudahan dan gaya hidup masa kini, pengenalan EzyCart boleh dianggap sebagai satu penyelesaian yang praktikal dalam memudahkan pengalaman membeli-belah. Ia merupakan troli beli-belah pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh NanoMalaysia Berhad dengan kerjasama syarikat penyedia penyelesaian automasi runcit iaitu Retailetics Sdn Bhd.

Berbeza dengan troli biasa, skrin sesentuh terbina disertakan yang juga memaparkan pelbagai maklumat produk dan promosi di kedai. Ia juga dilengkapi sistem pengesahan pelbagai yang boleh digunakan untuk imbasan kod bar dan pengesahan berat barang, dalam pada itu turut digabungkan dengan sensor berteknologi tinggi yang dikatakan mampu mengelakkan risiko kecurian.

Bukan itu sahaja, sistem e-dompet turut disediakan bagi tujuan memudahkan pengguna membuat pembayaran terus daripada troli yang digunakan. Pembayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit atau debit dengan cara menyentuh pada skrin disertakan. Ini bermakna tiada lagi keperluan beratur di kaunter untuk membuat pembayaran barangan. Bagi tujuan keselamatan pula, troli ini turut lengkap dengan teknologi nano antibakteria untuk memastikan permukaan kekal bersih berpanjangan.

Dianggarkan dana sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan troli ini. Sebanyak 10 unit sahaja disediakan pada peringkat awal yang akan digunakan di beberapa pasar raya terpilih seperti Redtick, Lotus dan Jaya Grocer.
[info] Sumber – MOSTI [/info]