Peminat kamera filem segera kini diberikan satu lagi pilihan baharu menerusi pengenalan Fujifilm Instax Square SQ40. Ia masih mengekalkan rekaan retro kamera segera Fujifilm sebelum ini yang juga digabungkan dengan tubuh daripada bahan kulit sintetik dan bingkai perak. Dalam pada itu, butang fizikal seumpama Instax Mini 40 turut boleh ditemui yang sudah semestinya memudahkan proses mengambil gambar.
Instax Square SQ40 juga mempunyai kanta F65.75 yang boleh ditarik keluar, di samping kawalan pendedahan yang boleh mengoptimumkan kelajuan pengatup mengikut keadaan secara automatik. Kemudian pengguna turut boleh mengakses ciri Selfie Mode terbina yang sesuai untuk tangkapan gambar swafoto dan jarak dekat dengan hanya memutar pada kanta kamera.
Terdapat juga cermin kecil terbina pada bahagian hadapan yang boleh digunakan untuk proses tangkapan swafoto lebih baik. Dua bateri litium CR2 diperlukan untuk operasi kamera yang dikatakan mampu digunakan mencapai 300 tangkapan gambar. Turut diperkenalkan adalah filem segera baharu menerusi pilihan Sunset yang diinspirasikan daripada warna langit semasa matahari terbenam.
Harga jualan Fujifilm Instax Square SQ40 ialah $149.95 USD (~RM692) dan akan mula dipasarkan sekitar pengujung bulan Jun ini.