Carian
Pusat Teknologi Automotif Proton DX Dibuka Untuk Lawatan Umum Di Quill City Mall
June 19, 2023 Nazrin

Proton, jenama automotif kebangsaan kebelakangan ini dilihat telah mula menggunakan pelbagai jenis teknologi baru didalam kenderaan-kenderaan mereka. Jika sebelum ini orang ramai perlu ke kedai automotif Proton untuk mencuba dan mengalami teknologi-teknologi baru ini, Proton dan ACO Tech kini telah akhirnya merasmikan pembukaan pusat teknologi automotif Proton DX yang pertama.

Terletak di aras tanah pusat membeli-belah Quill City Mall di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur, Proton DX diperkenalkan dengan tujuan untuk membolehkan orang ramai datang untuk mencuba dan mengalami sendiri teknologi-teknologi semasa, terbaru dan akan datang dengan cepat, mudah dan selamat.

Acara perasmian Proton DX dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Encik Li Pu, Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech dan Encik Wang Qijie, Ketua Pegawai Eksekutif China Construction Bank Malaysia.

Dengan saiz ruang 5275 kaki persegi di aras tanah pusat membeli-belah Quill City Mall di Kuala Lumpur, Proton DX tampil dengan pelbagai zon-zon menarik yang membolehkan orang ramai untuk mencuba teknologi-teknologi automotif terkini dan akan datang dengan mudah dan selamat.

Zon utama di Proton DX merupakan Kokpit Virtual yang membolehkan pelawat untuk memandu sebuah kenderaan secara maya dengan skrin gergasi seakan-akan pawagam wayang. Malah, kokpit ini juga hadir dengan fungsi arahan suara untuk pengalaman pemanduan yang berbeza. Kokpit virtual ini juga akan digunakan sebagai sebuah platform untuk memperkenalkan teknologi dan pengalaman pemanduan baru di masa akan datang.

Zon kedua pula ialah Zon Aktiviti yang merupakan sebuah ruang riadah yang hadir dengan permainan dan aktiviti seperti permainan pengesan pergerakan yang boleh dimanfaatkan secara individu ataupun berkumpulan. Zon Aktiviti juga merupakan tempat yang boleh digunakan sebagai ruang acara kolaboratif.

Jika anda lapar ataupun dahaga, anda boleh beralih ke ruang Aico Cafe yang menjual makanan dan minuman dan berborak dengan rakan-rakan ataupun keluarga sambil berehat sementara. Zon Gaya Hidup pula merupakan ruang dimana pengguna boleh membeli cenderahati Proton DX dan Joma, seperti pakaian dan pelbagai aksesori dari kedua-dua jenama ini. Proton juga mengatakan bahawa mereka akan menjual barangan rasmi mereka di lokasi tersebut di masa akan datang.

Lebih menarik lagi, lokasi Proton DX ini juga hadir dengan Delivery Bay, dimana pelanggan yang membeli sebuah kenderaan Proton yang baru boleh meminta untuk kenderaan mereka dihantar dan diambil dari lokasi tersebut.

Proton DX dibuka setiap hari dari 10 pagi sehingga 10 malam, dan sekiranya anda berminat untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai pusat teknologi automotif ini, anda boleh melayari laman web mereka di pautan ini.

Komen