Carian
Enjin CFM RISE Mengurangkan Penggunaan Bahan Api Sehingga 20% Dengan Rekaan Kipas Terbuka
June 19, 2023 Effi Saharudin

Dalam dunia aeronautik, penggunaan enjin jet pada pesawat penumpang sudah menjadi kebiasaan sejak de Haviland Comet melakukan penerangan pertama pada tahun 1949. Dengan kuasa yang lebih tinggi, pesawat boleh terbang lebih pantas ke destinasi dan terbang. lebih tinggi bagi mengelakkan gelora di udara. Ini menyebabkan pesawat dengan enjin turboprop semakin kurang digunakan.

Di Pertunjukan Udara Paris yang berlangsung hari ini, CFM mengumumkan enjin Revolutionary Innovation for Sustainable Engines (RISE) mereka telah berjaya menjalani 100 ujian dengan ia kini di landasan yang betul untuk diuji pada pesawat Airbus A380 menjelang 2025.

CFM RISE

RISE mempunyai rekaan yang aneh kerana dilengkapi dua pasang kipas yang berputar berlawanan antara satu sama lain seakan enjin pesawat Tupolev Tu-142 Bear. Menerusi konfigurasi kipas terbuka ini, CFM berkata penjimatan penggunaan bahan api dan juga pengurangan pengurangan CO2  sehingga 20% dapat dicapai.

Idea menggunakan enjin jet dengan kipas terdedah bukanlah idea baharu. General Electric GE36 UDF diuji pada tahun 1985 dan Safran Contra-Rotating-Open-Rotor (CROR) pula diuji pada tahun 2017. CFM ialah syarikat usaha sama GE dan Safran maka pengetahuan dahulu digunakan untuk menghasilkan RISE.

GE36 UDF – oleh General Electrics

Isu utama enjin seperti ini ialah bunyi bising dan isu keselamatan sekiranya kipas tercabut daripada enjin. Menurut CFM, dalam ujian setakat ini RISE beroperasi lebih senyap berbanding enjin LEAP yang kini digunakan pada Boeing 737-MAX dan Airbus A320 Neo. Dengan pemain industri kini cuba mengurangkan penggunaan bahan api dan pencemaran, mungkin enjin kipas terbuka seperti RISE akan akhirnya digunakan pada pesawat sebenar dan bukan sekadar pentas ujian semata-mata.

Komen