Peranti Vivo di bawah siri X bukan sahaja memberi fokus terhadap prestasi, malahan turut menyediakan sistem pengimejan mudah alih cukup menarik. Menariknya lagi apabila sistem kamera ZEISS turut digunakan sebagai nilai tambah buat peranti itu sendiri.
Terkini, Vivo dilihat dalam perancangan hadir dengan peranti baharu menerusi X90s pada 26 Jun akan datang. Elemen yang digunakan juga dilihat sama dengan siri X90 sebelum ini yang turut menunjukkan pemilihan warna serba putih digunakan pada peranti. Begitu juga dengan kewujudan bonggol kamera besar bersama sistem tri-kamera utama yang masih kelihatan sama.
Persediaan kamera pada peranti bagaimanapun masih menjadi misteri kerana persolan tentangnya hanya akan terjawab apabila dilancarkan secara rasmi kelak. Namun melihat perkongsian hasil gambar dikongsi, peranti dijangka mampu menyediakan pengalaman penggambaran cukup baik. Dalam aspek lain, peranti juga dipercayai menggunakan skrin 6.78″ 120Hz, cip MediaTek Dimensity 9200+ dan bateri yang menyokong sistem pengecasan 120W.